Umno ‘King Maker yang hebat’? Annuar pesan: Jangan sampai kesombongan bawa keruntuhan

Kedudukan sebagai parti besar tidak semestinya menjamin kekuatan politik tanpa kerjasama, demikian peringatan bekas Setiausaha Agung Umno, Tan Sri Annuar Musa, ketika mengulas kedudukan Umno dalam landskap politik semasa.

Annuar berkata Umno merupakan parti kedua terbesar dari segi jumlah bahagian dengan 191 bahagian di seluruh negara, manakala Pas mempunyai 199 kawasan.

Dari segi penguasaan kerusi Parlimen pula, Umno mempunyai 27 kerusi dan menjadi antara parti utama dalam Dewan Rakyat.

Menurut Annuar, saiz dan kedudukan itu memberikan Umno ruang untuk menentukan pendirian serta haluan politiknya sendiri, termasuk kemungkinan bergerak secara solo tanpa bergantung kepada pihak lain.

Beliau berkata pendirian sedemikian turut kedengaran dalam kalangan pemimpin Umno pada Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, termasuk pandangan bahawa Umno mempunyai kekuatan untuk menjadi “King Maker yang hebat”.

Bagaimanapun, Annuar secara tidak langsung mengingatkan bahawa kekuatan sesebuah parti tidak seharusnya diterjemahkan kepada keengganan untuk membina kerjasama dengan pihak lain.

Katanya, Pas dan Perikatan Nasional (PN) pula mengambil pendirian terbuka dan sederhana dalam usaha membina kekuatan politik, termasuk melalui agenda perpaduan ummah.

“Pemimpin Pas mendapat mandat Muktamar untuk mengusahakan perpaduan ummah sebagai jalan membina kekuatan bagi kelompok teras iaitu Melayu Islam serta pihak lain yang tidak ekstrem,” katanya.

Dalam masa sama, Annuar berpandangan era politik yang hanya bertujuan mendapatkan perhatian atau sokongan kelompok tertentu sudah berakhir.

“Waktu untuk ‘play to the gallery’ sudah tamat. Kita berdepan realiti politik dan berpijak di bumi nyata,” katanya.

Beliau berkata realiti politik semasa memerlukan parti-parti mengambil pendekatan yang lebih pragmatik, terutama apabila kekuatan politik tidak hanya bergantung kepada jumlah kerusi atau struktur organisasi.

Menurutnya, muafakat merupakan antara jalan untuk membina kekuatan yang lebih kukuh, berbanding bergantung semata-mata kepada kelebihan sesebuah parti.

“Muafakat adalah satu-satu jalan membina kekuatan. Kesombongan hanya membawa keruntuhan,” katanya.

Kenyataan Annuar itu hadir ketika kedudukan Umno sebagai parti besar dan pilihan untuk menentukan haluan sendiri kembali menjadi perhatian, khususnya selepas perbahasan mengenai masa depan kerjasama politik antara parti Melayu.

Beliau turut mengakhiri kenyataan bersempena Hari Muafakat Nasional pada 14 September dengan seruan supaya kepentingan muafakat diberi perhatian dalam usaha membina kekuatan politik yang lebih besar.

BACA JUGA Bukan nama asing di Bukit Aman, kenapa Abdul Aziz dipilih jadi Timbalan KPN?