Kalau nak keluar, keluarlah bermaruah – Mahfuz pesan Umno jangan goncang Kerajaan Perpaduan
Umno tidak seharusnya bercakap tentang kesetiaan kepada Kerajaan Perpaduan sambil mengambil langkah politik yang boleh menggugat kerajaan dibina bersama, kata Naib Presiden AMANAH, Datuk Mahfuz Omar.
Sebaliknya, beliau mengingatkan Umno supaya memilih pendirian yang jelas jika mahu kekal bersama kerajaan sehingga tamat penggal, parti itu perlu menjaga kestabilan dan kepercayaan yang menjadi asas pembentukan Kerajaan Perpaduan.
Kenyataan itu dibuat susulan penegasan Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan bahawa parti itu akan terus bersama Kerajaan Perpaduan sehingga hujung penggal kerana ia merupakan janji ketika kerajaan berkenaan dibentuk.
Mahfuz berkata beliau menghormati pendirian Mohamad itu, selain bersetuju bahawa kestabilan politik perlu dipelihara dan negara tidak seharusnya berdepan ketidaktentuan politik yang tidak perlu.
Namun, katanya, kesetiaan kepada kerajaan tidak sepatutnya sekadar bermaksud kekal memegang jawatan dalam Kabinet.
“Kesetiaan juga bermaksud menjaga kepercayaan, kestabilan dan semangat kerjasama yang menjadi asas kepada kerajaan tersebut,” katanya dalam kenyataan.
Mahfuz berkata Umno sememangnya mempunyai hak menentukan strategi politik di peringkat negeri, tetapi hak berpolitik perlu datang bersama tanggungjawab sebagai sebahagian daripada kerajaan di peringkat Persekutuan.
Menurutnya, keadaan menjadi bercanggah sekiranya Umno menyatakan komitmen untuk kekal dalam Kerajaan Perpaduan, namun pada masa sama dilihat membina kerjasama dengan pihak yang mahu mengambil alih kerajaan dibentuk bersama 19 parti politik.
“Kalau di Putrajaya kita membina rumah bersama, mengapa di negeri tertentu Umno pula bekerjasama dengan pihak yang mahu mengambil alih rumah yang kita diami bersama?” katanya.
Beliau berkata perbezaan strategi pilihan raya dan pendapat adalah perkara biasa dalam politik, tetapi ia tidak seharusnya sampai menimbulkan persoalan mengenai arah sebenar politik Umno.
Justeru, Mahfuz mempersoalkan sama ada Umno benar-benar mahu mempertahankan Kerajaan Perpaduan sehingga tamat penggal atau sedang menyediakan laluan politik berbeza selepas itu.
“Kalau mahu duduk serumah sampai hujung penggal, jagalah rumah ini sampai hujung penggal.
“Dan jika suatu hari nanti merasakan Kerajaan Perpaduan tidak lagi sesuai dengan hala tuju Umno, maka carilah jalan keluar secara terhormat, melalui perbincangan dan peralihan yang teratur,” katanya.
Mahfuz turut menolak pendekatan meminta Perdana Menteri memecat wakil Umno daripada kerajaan, sebaliknya mencabar parti itu supaya berani membuat keputusan sendiri dan bersedia menanggung akibat daripada pendirian tersebut.
“Jangan tunggu dihalau untuk membuktikan kita ada maruah. Maruah ialah berani membuat keputusan sendiri.
“Maruah politik bukan terletak pada siapa yang mengeluarkan kita daripada kerajaan,” katanya.
Beliau menegaskan kenyataannya bukan bermaksud mahu Umno keluar daripada Kerajaan Perpaduan, sebaliknya mahu parti itu belajar bagaimana untuk kekal dalam kerajaan dengan baik tanpa menggugat asas kerjasama.
“Kalau mahu bersama, bersama dengan amanah. Kalau mahu berbeza, berbeza dengan tertib. Kalau mahu keluar, keluarlah dengan bermaruah.
“Jangan kekal sambil menggoncang. Jangan keluar sambil meruntuhkan,” katanya.
Mahfuz turut mengingatkan bahawa kerajaan mungkin dibina berdasarkan angka sokongan, tetapi kelangsungannya bergantung kepada kepercayaan termasuk keyakinan politik dan ekonomi yang memerlukan kestabilan serta hala tuju yang jelas.
BACA JUGA Umno ‘King Maker yang hebat’? Annuar pesan: Jangan sampai kesombongan bawa keruntuhan