Selepas pengarah syarikat direman, siasatan baja MADA mula menghala ke peringkat atas?

Penahanan seorang pengarah urusan syarikat pembekal Baja Padi 3 membuka persoalan sama ada siasatan SPRM berhubung kelewatan bekalan baja kepada pesawah MADA kini akan bergerak ke peringkat lebih tinggi dalam Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM).

Pengarah urusan sebuah syarikat pembekal berusia lingkungan 30-an ditahan SPRM Kedah pada 12 September sebelum direman empat hari. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

Siasatan awal mendapati syarikat yang dilantik KPKM sepatutnya membekalkan 616,015 beg baja bagi Musim 1 2026. Namun sehingga September, hanya 333,655 beg dibekalkan, meninggalkan kekurangan sebanyak 282,360 beg.

Persoalan kini bukan sahaja tertumpu kepada kegagalan syarikat memenuhi tanggungjawabnya, tetapi bagaimana proses tender, kelulusan dan pelaksanaan kontrak berkenaan dilakukan.

Ini kerana Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman sendiri telah mengarahkan siasatan menyeluruh meliputi semua pihak yang mempunyai kaitan dengan aspek dasar, pelaksanaan serta proses tender.

Boleh dipanggil

Lebih menarik, Abd Halim secara terbuka menyebut bahawa siasatan tidak semestinya berhenti pada pegawai pelaksana. Menurut beliau, KSU malah menteri berkaitan juga boleh dipanggil sekiranya diperlukan bagi membantu siasatan.

Pada masa sama, sumber yang mempunyai pengetahuan mengenai perkara tersebut memberitahu Pentas Negara bahawa perhatian kini turut diberikan kepada peranan pegawai kanan kementerian dalam urusan berkaitan kontrak berkenaan.

Bagaimanapun, Pentas Negara belum dapat mengesahkan secara bebas dakwaan tersebut dan setakat ini SPRM juga belum mengumumkan bahawa mana-mana KSU merupakan suspek atau melakukan sebarang kesalahan.

Apa yang sudah pasti, SPRM sedang meneliti lebih daripada sekadar kelewatan penghantaran baja. Siasatan menjurus kepada Seksyen 18 Akta SPRM 2009 berkaitan tuntutan palsu, selain analisis kewangan terhadap akaun syarikat serta penelitian terhadap aspek tatakelola.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu pula menyatakan beliau dan kementeriannya bersedia memberikan kerjasama penuh kepada SPRM dan menegaskan tiada apa yang perlu disembunyikan. Setakat kenyataannya pada 11 September, beliau belum dipanggil SPRM.

Dengan pengarah syarikat sudah direman dan SPRM sendiri membuka ruang untuk menyiasat sehingga ke peringkat tertinggi kementerian, persoalan selepas ini semakin jelas: siapakah yang akan dipanggil selepas ini, dan sejauh mana rantaian keputusan dalam kontrak Baja Padi 3 akan diperiksa SPRM?

BACA JUGA Kalau nak keluar, keluarlah bermaruah – Mahfuz pesan Umno jangan goncang Kerajaan Perpaduan