‘Laut boleh memisahkan kita, tapi bukan cita-cita’, ini mesej Anwar sempena Hari Malaysia
Sambutan Hari Malaysia menjadi peringatan bahawa negara ini dibina atas suatu waad atau ikatan antara pemerintah dengan rakyat, wilayah dengan Persekutuan serta antara kesetiaan dengan keadilan.
Dalam mesej sempena Hari Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perjalanan negara juga pernah menyimpang apabila soal kaum diperalat, jurang antara wilayah dibiarkan melebar dan perbezaan dijadikan tembok serta garis pemisah.
Menurut Perdana Menteri, tarikh 16 September membawa iltizam atau janji yang perlu sentiasa diperbaharui demi memastikan tiada wilayah dianggap terpinggir atau sekadar berada di pinggiran.
Pada masa sama, beliau turut menegaskan bahawa tiada kaum seharusnya berasa terasing dan tiada rakyat tercicir daripada arus kemajuan.
“Laut boleh memisahkan kita, tapi tidak cita-cita dan harapan kenegaraan,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Beliau mengakhiri mesej berkenaan dengan ucapan, “Selamat Hari Malaysia!”
BACA JUGA Dengar keluhan rakyat, PMX umum mesyuarat khas esok cari jalan kurangkan kesan bil elektrik