PJRM bantu rakyat Sarawak nikmati barangan hingga 30 peratus lebih murah

FOTO BERITA: Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) terus diperluas di Sarawak bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa. (Gambar: UKK KPDN)

Program Jualan RAHMAH MADANI (PJRM) terus diperluas di Sarawak bagi membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan harian pada harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran semasa.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali berkata, inisiatif Kerajaan MADANI itu dilaksanakan secara meluas bagi memberi penjimatan kepada rakyat sekali gus membantu meringankan kos sara hidup.

Beliau berkata demikian ketika menghadiri Program Sentuhan Kasih dan Jualan RAHMAH MADANI di pekarangan Gereja St. Francis, Kota Samarahan, hari ini, dalam sela kunjungannya ke Sarawak sempena Sambutan Hari Malaysia Ke-63. Turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Stakan, Datuk Hamzah Brahim.

Menurut Armizan, pelaksanaan PJRM di Sarawak menunjukkan peningkatan ketara daripada 736 siri pada 2023 kepada 1,148 siri pada 2024 dan 2,584 siri sepanjang 2025.

Bagi tempoh 1 Januari hingga 31 Ogos tahun ini sahaja, sebanyak 2,403 siri PJRM telah dilaksanakan di seluruh Sarawak, termasuk 86 siri di Parlimen Kota Samarahan dan 28 siri di DUN Stakan.

Katanya, PJRM telah dijadikan program tetap kerajaan sejak 2024 dengan peruntukan khusus di bawah agenda Payung RAHMAH, selain ditetapkan untuk dilaksanakan sekurang-kurangnya tiga kali sebulan di 600 DUN seluruh negara termasuk 40 zon di Wilayah Persekutuan.

Program itu dilaksanakan menerusi tiga kaedah iaitu di dalam premis, luar premis dan PJRM bergerak, selain jualan bertema sempena musim perayaan serta cuti persekolahan.

Program itu dilaksanakan menerusi tiga kaedah iaitu di dalam premis, luar premis dan PJRM bergerak, selain jualan bertema sempena musim perayaan serta cuti persekolahan.

Sejak 2025, Takwim PJRM turut diperkenalkan bagi memudahkan rakyat menyemak lebih awal tarikh, masa dan lokasi jualan di kawasan masing-masing.