Hari Malaysia di Padang Jawa angkat perpaduan, generasi muda diingatkan jangan hilang jati diri

FOTO BERITA: Majlis Sambutan Hari Malaysia & Padang Jawa Berselawat bersama Encik Mohd Firdaus Mokhtar Ahli Majlis MPP Zon 6, MBSA di Dewan JPKK Padang Jawa Shah Alam, Selangor. 16hb September 2026. (Rabu)

Perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama perlu terus dipelihara sebagai kekuatan utama negara, khususnya dalam menghayati semangat pembentukan Malaysia.

Ahli Majlis MPP Zon 6, Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA), Mohd Firdaus Mokhtar berkata, penyatuan antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak merupakan asas penting yang perlu dipertahankan oleh seluruh rakyat.

“Kita jaga kemerdekaan, kita jaga penyatuan di antara Semenanjung dan Sabah, Sarawak. Ini adalah kekuatan negara, kita negara yang berbilang kaum, pelbagai agama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena Sambutan Hari Malaysia dan Padang Jawa Berselawat di Dewan JPKK Padang Jawa, di sini, hari ini.

Menurutnya, perpaduan merupakan sesuatu yang sangat bernilai dan masyarakat tidak seharusnya membiarkan perbezaan khususnya melibatkan agama dan kaum mencetuskan perpecahan.

Dalam pada itu, Firdaus turut mengingatkan peserta supaya menjaga kesihatan susulan keadaan jerebu dan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) yang tinggi di Shah Alam.

Sementara itu, Pengarah Program Sambutan Hari Malaysia dan Padang Jawa Berselawat, Sazaliza Mohd Sirin berkata, program berkenaan kembali dianjurkan buat tahun ketiga dengan penglibatan komuniti setempat serta sokongan lebih 11 syarikat penaja.

Katanya, empat pasukan menyertai pertandingan perarakan tahun ini, selain penganjur memperkenalkan pertandingan mewarna kolam yang mengetengahkan budaya masyarakat India dan menarik penyertaan anak muda daripada pelbagai kaum.

Program berkenaan turut menyediakan pemeriksaan kesihatan percuma serta cabutan bertuah, termasuk 30 helai kemeja-T Yamaha bernilai RM79 setiap satu dan 100 baucar kecantikan bernilai RM69.

Sazaliza berkata, sambutan Hari Malaysia perlu terus dihayati terutama dalam kalangan generasi muda dan tidak seharusnya dianggap sekadar satu lagi hari cuti.

“Saya tidak mahu generasi muda hilang jati diri dan tidak menyambut Hari Malaysia ini,” katanya.
