Dulu MB kata tandatangan bawah paksaan, kini Exco guna tandatangan sama sahkan proklamasi

Kemelut membabitkan institusi Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan memasuki episod baharu apabila satu kenyataan yang didakwa dikeluarkan barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) menggunakan tandatangan Menteri Besar, Datuk Ismail Lasim pada 3 Ogos lalu sebagai asas bahawa proklamasi penurunan takhta telah disempurnakan.

Perkara itu menarik perhatian kerana hanya seminggu lalu, Ismail sendiri mengesahkan beliau menandatangani Surat Cara Proklamasi berkenaan tanpa rela hati dan secara paksaan, selain membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

Malah, dalam kenyataannya pada 9 September lalu, Ismail berkata, kerajaan negeri berpendirian dokumen itu tidak memenuhi proses dan tatacara di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 serta menganggapnya tidak sah dan tidak boleh dikuatkuasakan.

Namun, kenyataan terbaharu yang menggunakan nama “Barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Sembilan” membawa pendirian berbeza apabila menyatakan proklamasi bertarikh 19 April lalu telah ditandatangani serta dicop mohor oleh Undang Luak yang sah dan berkuat kuasa.

Kenyataan itu turut menyebut tandatangan Ismail pada 3 Ogos menjadikan proklamasi berkenaan “sempurna” menurut Perkara 10(2) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Ia mendakwa keputusan tersebut dicapai secara kolektif dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Bilangan 6 Tahun 2026 yang dipengerusikan Ismail pada 15 September.

Situasi itu mendorong peguam Rosli Dahlan mempersoalkan kesahihan kenyataan berkenaan, termasuk sama ada ia benar-benar diperakui Ismail selaku Menteri Besar dan ketua Exco.

“Bolehkah satu ketetapan exco dibuat tanpa perakuan menteri besar?” soalnya, dipetik FMT.

Kebenaran

Beliau turut membangkitkan persoalan siapa yang memberi kebenaran untuk kenyataan berkenaan dikeluarkan.

“Keputusan serta ketetapan exco sepatutnya diumumkan oleh menteri besar selaku ketua exco. Jadi, bolehkah exco mengeluarkan kenyataan sedemikian tanpa menteri besar?

“Dan siapakah yang beri kebenaran untuk mengeluarkan kenyataan itu?” soalnya lagi.

Persoalan itu menjadi lebih ketara apabila dakwaan Ismail bahawa beliau dipaksa menandatangani dokumen berkenaan kini sedang disiasat polis.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail pada 14 September lalu mengesahkan kertas siasatan telah dibuka dan siasatan masih berjalan.

Pada masa sama, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan pada 14 September menegaskan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Rosli menegaskan bahawa tiada proses sah pernah menyebabkan baginda terhenti memegang jawatan tersebut. DKU turut berpendirian proklamasi 19 April itu tidak sah.

Justeru, pertikaian terbaharu kini bukan sahaja tertumpu kepada kesan perundangan proklamasi berkenaan.

Malah, ia juga menimbulkan persoalan bagaimana tandatangan yang sebelum ini didakwa Menteri Besar diperoleh secara paksaan kini digunakan dalam kenyataan Exco sebagai asas untuk mengatakan proklamasi tersebut telah disempurnakan.

BACA JUGA PM mesyuarat nak turunkan beban bil elektrik, MMK Negeri Sembilan putus proklamasi turunkan raja