Tiga hari, tiga kenyataan berbeza: Apa sebenarnya berlaku dalam MMK Negeri Sembilan?

Oleh KHAIRUL AZRI

Rakyat Negeri Sembilan kena tahu, dalam tempoh tiga hari berturut-turut ada tiga kenyataan rasmi dikeluarkan berkaitan isu Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Proklamasi 19 April 2026.

Saya susun ringkas sebab bila letak tiga-tiga sebelah-sebelah, baru nampak persoalannya.

14 September 2026 — Dewan Keadilan dan Undang Negeri Sembilan (DKU)

DKU mengambil pendirian bahawa Proklamasi 19 April tidak sah.

Antara alasannya, tiga daripada empat individu yang menandatangani Proklamasi dikatakan tidak memegang jawatan Undang yang sah ketika itu.

DKU juga kata tiada siasatan penuh seperti dikehendaki Perkara 10(1) UUTKNS 1959.

DKU turut berhujah bahawa Menteri Besar ketika itu sudah enggan menandatangani Proklamasi pada 20 April.

Maka fungsi MB di bawah Perkara 10(2) dianggap telah selesai dan tidak boleh dibuat semula oleh MB yang lain.

Kesimpulan DKU: Tuanku Muhriz kekal Yang di-Pertuan Besar.

15 September 2026 — Menteri Besar Negeri Sembilan

Sehari kemudian, MB Dato’ Haji Ismail bin Haji Lasim keluarkan kenyataan selepas MMK bersidang.

Kali ini nadanya berbeza.

MB tidak mengatakan Proklamasi itu sah atau tidak sah. Sebaliknya beliau kata kesahan Proklamasi perlu dinilai berdasarkan sumber kuasa, syarat dan prosedur UUTKNS 1959 serta sama ada semuanya telah dipatuhi.

Malah, disebut juga bahawa kalau timbul pertikaian undang-undang, ia boleh diselesaikan melalui penentuan kehakiman.

Maksudnya, daripada kenyataan 15 September itu, isu kesahan Proklamasi masih nampak belum diputuskan secara muktamad.

16 September 2026 — Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK)

Hari ini keluar pula kenyataan atas nama Barisan Ahli MMK.

Dan kena ingat, Menteri Besar sendiri mempengerusikan MMK kecuali kita nak explore kemungkinan ada cerita MB lawan Exco.

Sempurna

Kenyataan kali ini menyatakan Proklamasi 19 April telah ditandatangani oleh Undang Luak yang sah dan berkuat kuasa, dan tandatangan MB pada 3 Ogos telah menjadikan Proklamasi itu sempurna.

MMK kemudian mengumumkan bahawa Tuanku Muhriz telah diturunkan takhta dan Tuanku Nadzaruddin diiktiraf sebagai Yang di-Pertuan Besar yang baharu.

Jadi, bila kita susun:

14 Sept: DKU kata tak sah.

15 Sept: MB kata kesahan masih perlu ditentukan.

16 Sept: MMK kata sah dan sempurna.

Di sinilah persoalan timbul.

DKU kata tiga daripada empat penandatangan bukan Undang yang sah.

MB pada 15 September tidak menentukan siapa yang sah, malah kata kesahan Proklamasi dan pematuhan prosedur masih perlu dinilai.

Tetapi MMK pada 16 September pula kata Proklamasi itu memang ditandatangani oleh Undang Luak yang sah.

Lebih menarik, kenyataan 16 September kata keputusan itu dibuat dalam mesyuarat MMK pada 15 September, dipengerusikan oleh MB yang sama.

Jadi, apa sebenarnya yang berlaku dalam mesyuarat 15 September?

Adakah kenyataan MB keluar sebelum keputusan akhir dibuat?

Kalau ya, apa yang berubah selepas itu sehingga esoknya Proklamasi terus dianggap sah dan sempurna?

Dan satu lagi: DKU kata tiada siasatan penuh di bawah Perkara 10(1). MMK pula kata proses sudah sempurna.

Jadi, siasatan itu pernah dibuat atau tidak?

Tiga hari. Tiga kenyataan. Tiga pendirian yang sangat berbeza.

BACA JUGA PM mesyuarat nak turunkan beban bil elektrik, MMK Negeri Sembilan putus proklamasi turunkan raja