Dari tiket kapal terbang untuk pelajar hingga BUDI diesel, ini 4 hadiah besar Anwar pada Hari Malaysia

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan beberapa ikhtiar baharu menerusi Amanat Hari Malaysia yang disampaikan beliau semalam.

Ia melibatkan bantuan kepada pelajar baharu institusi pengajian tinggi, penambahbaikan BUDI Diesel serta pengukuhan hak Sabah dan Sarawak.

Pengumuman itu turut menyentuh pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), termasuk perkembangan terhadap beberapa perkara yang telah dimuktamadkan dan dilaksanakan oleh Kerajaan MADANI. 

Antara yang diumumkan ialah pemberian khas kepada Sarawak sebanyak RM1.5 bilion setahun mulai 2026. 

Berikut empat pengumuman utama Anwar yang diumumkan sempena Hari Malaysia:

1. RM500 untuk tiket penerbangan pelajar baharu IPTA

Kerajaan menyediakan Bantuan Khas Pembelian Tiket Penerbangan secara sekali beri atau one-off sebanyak RM500 kepada setiap pelajar baharu Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) yang layak.

Bantuan itu melibatkan pelajar Universiti Awam, politeknik dan kolej komuniti, dengan 7,095 pelajar dari Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Labuan dinyatakan dalam pengumuman berkenaan.

2. BUDI Diesel kini lebih fleksibel

Kerajaan turut menambah baik ikhtiar BUDI Diesel, khususnya dari segi pemindahan kelayakan.

Sebelum ini, kelayakan hanya boleh dipindahkan kepada ahli keluarga, namun kini ia dibuka kepada warganegara Malaysia yang layak, termasuk penerima yang mempunyai urusan kenderaan secara sambung bayar.

Bagi pemilik yang mempunyai lebih daripada satu kenderaan, kelayakan juga boleh dipindahkan bagi setiap kenderaan, namun terhad kepada maksimum tiga kenderaan. 

Kelayakan itu boleh dipindahkan kepada suami, isteri atau anak seperti dinyatakan dalam pengumuman.

3. Pemberian khas Sarawak dinaikkan kepada RM1.5 bilion setahun

Bagi Sarawak pula, pemberian khas dinaikkan kepada RM1.5 bilion setahun, berkuat kuasa bagi tahun 2026.

Jumlah itu menyamai kadar interim pemberian khas Sabah. Kerajaan Persekutuan juga akan meneruskan rundingan dengan Kerajaan Sarawak bagi memuktamadkan formula pemberian khas tahunan. 

4. 13 perkara MA63 dimuktamadkan, 9 diselesaikan

Dalam amanat sama, Anwar memaklumkan terdapat 13 perkara MA63 yang telah dimuktamadkan, dengan sembilan daripadanya diselesaikan di bawah Kerajaan MADANI.

Antara perkara yang dinyatakan telah dilaksanakan ialah JKR dan JPS Sabah serta Sarawak diiktiraf sebagai jabatan teknikal, wakil tetap Sabah dan Sarawak dalam Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), kuasa kawal selia elektrik diserahkan kepada Sabah, Pelabuhan Bintulu menjadi milik Sarawak serta MASWings diserahkan kepada Sarawak dan dijenamakan sebagai AirBorneo.