DKU tegaskan Tuanku Muhriz masih Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, proklamasi 19 April cacat sejak awal

Dewan Keadilan dan Undang (DKU) Negeri Sembilan menegaskan bahawa kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Besar Negeri Sembilan kekal sah.

Pengumuman itu sekali gus menolak keputusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK) yang mengiktiraf pemerintah baharu.

Setiausaha DKU memaklumkan, kedudukan baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan Yang di-Pertua Dewan kekal selagi jawatan itu dipegang secara sah.

“Dewan menegaskan semula bahawa Tuanku Muhriz Tuanku Munawir kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang sah dan Yang di-Pertua Dewan. 

“Tiada kekosongan jawatan dan tiada pengganti selagi jawatan itu dipegang secara sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut DKU, pendirian itu selaras dengan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959 (UUTKNS 1959) serta ketetapan Dewan.

Dalam pada itu, DKU menegaskan semula bahawa Proklamasi bertarikh 19 April 2026 adalah cacat sejak awal, tiada siasatan menurut Perkara X (1) UUTKNS 1959 pernah dilaksanakan dan telah luput serta terbatal.

Menurut Dewan, tiga daripada empat individu yang menandatangani proklamasi berkenaan tidak memegang jawatan Undang pada tarikh tersebut.

Keengganan Menteri Besar ketika itu untuk menandatangani proklamasi berkenaan turut menyebabkan fungsi di bawah Perkara X (2) UUTKNS 1959 dilaksanakan sehingga proklamasi itu luput dan terbatal.

DKU menegaskan, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa untuk memulihkan kecacatan berkenaan.

Dewan turut menjelaskan bahawa sebarang proklamasi yang mendakwa memilih Yang di-Pertuan Besar baharu berdasarkan asas yang sama adalah tidak sah dan tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang.

Berhubung dokumen bertarikh 16 September 2026, DKU berkata keputusan MMK Negeri Sembilan Bil. 6 bertarikh 16 September 2026 tidak mempunyai kesan di sisi undang-undang.

Menurut DKU, sekiranya dokumen itu bertujuan mengesahkan penurunan takhta Tuanku Muhriz, mengiktiraf pemilihan seorang Yang di-Pertuan Besar baharu serta mengarahkan pelaksanaannya serta-merta, ia menyentuh perkara yang berada di luar bidang kuasa MMK Negeri dan bertentangan dengan ketetapan Dewan yang mengikat.

“Dengan itu, ia adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan tidak mempunyai apa-apa kesan,” menurut kenyataan itu.

Dewan turut menegaskan bahawa institusi adat Negeri Sembilan, termasuk institusi Yang di-Pertuan Besar dan institusi Undang, bukan milik mana-mana parti atau individu, sebaliknya merupakan amanah bagi semua anak buah dan waris.

DKU menyeru semua pihak supaya menjunjung UUTKNS 1959, menghormati bidang kuasa dan ketetapan Dewan serta menyelesaikan sebarang pertikaian menerusi proses perlembagaan dan undang-undang yang sah.