“Tolong cari abang saya” — Keluarga rayu jejak Emmanuel, dipercayai dikurung sindiket di Kemboja

FOTO BERITA: Sidang Media oleh Datuk Hishamuddin Hashim Setiausaha Agung MHO bersama Edward, adik mangsa merayu bawak pulang disyaki menjadi mangsa scammer & pemerdagangan manusia di Cambodia di Pejabat MHO, Megan Avenue 1, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur. 17hb September 2026 (Khamis)

Sebuah keluarga merayu bantuan orang ramai untuk mengesan Emmanuel Christinus Herman yang dipercayai dikurung dan didera sindiket di Sihanoukville, Kemboja sejak Jun lalu.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Hishamuddin Hashim berkata, lokasi sebenar Emmanuel ketika ini menjadi perkara paling kritikal bagi membolehkan usaha menyelamat digerakkan.

Menurut Edward, abangnya sebelum ini bekerja sebagai petugas penerimaan tetamu di sebuah kasino di Sihanoukville sebelum membuat pinjaman RM12,000 bagi menguruskan masalah tinggal melebihi tempoh serta urusan visa dan pasport.

Katanya, pinjaman berkenaan telah dibayar melalui penukar wang menggunakan mata wang kripto USDT., namun kira-kira 24 jam kemudian sebuah sindiket didakwa mula mengawal Emmanuel dan menuntut wang tebusan RM20,000 daripada keluarga.

Hotel Dolphin di Sihanoukville dikenal pasti sebagai lokasi terakhir Emmanuel, dengan keluarga mendakwa mangsa dipukul, dikurung, dikawal ketat dan hanya diberikan makanan sekali sehari.

Bagaimanapun, keluarga kehilangan hubungan dengannya sejak Jun, manakala pemeriksaan pihak berkuasa Kemboja di hotel berkenaan selepas Wisma Putra dihubungi gagal menemukan Emmanuel.

Hishamuddin berkata MHO mempunyai rangkaian termasuk pasukan petugas, aktivis tempatan serta kerjasama dengan Kedutaan Malaysia di Kemboja yang bersedia membantu sebaik sahaja lokasi mangsa dikenal pasti.

Beliau turut menjelaskan Emmanuel bekerja di kasino dan bukannya sebagai pelaku penipuan, namun terdapat kebimbangan mangsa mungkin telah dipindahkan ke pusat penipuan berskala kecil dan dipaksa melakukan kegiatan berkenaan.

Sehubungan itu, MHO meminta orang ramai, khususnya komuniti di Kemboja termasuk di Sihanoukville, Phnom Penh dan Kampong Cham, tampil menyalurkan sebarang maklumat yang boleh membantu mengesan Emmanuel bagi membolehkan usaha membawanya pulang ke Malaysia digerakkan.