Anak nelayan bukan sekadar turun ke laut, kini boleh jadi pakar baiki bot dan enjin

Anak nelayan kini diberi laluan baharu untuk kekal dalam industri perikanan, bukan hanya sebagai pengusaha atau pekerja di laut, tetapi juga sebagai tenaga mahir dalam bidang pembaikan bot dan enjin.

Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperluas peluang itu menerusi program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), dengan kumpulan pertama membabitkan 12 anak nelayan.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil berkata, program berkenaan dirangka bagi memastikan generasi baharu daripada komuniti nelayan mempunyai kemahiran bertauliah serta peluang kerjaya yang lebih baik dalam ekosistem perikanan.

Menurutnya, program itu dilaksanakan selama 15 bulan dengan kerjasama Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) dan institusi kemahiran berkaitan, merangkumi latihan teori serta amali.

“Seramai 12 anak nelayan dipilih sebagai kumpulan pertama untuk mengikuti program ini yang membabitkan latihan teori di institusi kemahiran, manakala latihan amali dilaksanakan di limbungan di Kuantan, Pahang,” katanya.

Faiz berkata, tumpuan diberikan kepada bidang pembaikan bot dan enjin kerana kemahiran itu mempunyai kaitan langsung dengan operasi serta kelangsungan industri perikanan.

“Kita fokus kepada anak-anak nelayan untuk memberikan satu kemahiran yang bertauliah dalam bidang ini, terutamanya pembaikan bot dan enjin atau berkaitan kapal ikan.

“Tujuannya untuk memastikan anak-anak nelayan ini mempunyai masa depan yang baik dalam industri perikanan,” katanya.

Menurut beliau, sektor pembaikan kapal merupakan salah satu komponen penting dalam ekosistem perikanan, sekali gus membuka ruang kepada komuniti nelayan untuk menguasai lebih banyak rantaian industri.

Bagi melaksanakan program itu, LKIM memperuntukkan kira-kira RM150,000, yang menurut Faiz tidak menggunakan peruntukan belanjawan tahunan. Peserta pula perlu berusia 18 tahun ke atas, selain mempunyai minat dan kesungguhan untuk menceburi bidang berkenaan.

Faiz turut menegaskan LKIM mahu memastikan peserta yang memperoleh tauliah benar-benar kekal dalam bidang industri perikanan, bukannya sekadar mengikuti latihan tanpa meneruskan kerjaya berkaitan.

Dalam perkembangan berkaitan, LKIM turut meneruskan bantuan kebajikan kepada komuniti nelayan di Perak, termasuk bantuan bencana alam dan perumahan.

Sebanyak RM47,400 disalurkan kepada ketua-ketua di tujuh kawasan nelayan di Perak bagi bantuan berkaitan bencana dan kebajikan, manakala sebuah rumah baharu bernilai RM84,000 diserahkan menerusi Projek Khas Perumahan Nelayan di Matang.

Bantuan perumahan di Perak tahun ini turut membabitkan dua rumah bina baharu dan tiga rumah dibaik pulih, menunjukkan pendekatan pembangunan komuniti nelayan bukan hanya tertumpu kepada hasil tangkapan, tetapi turut merangkumi kemahiran, pekerjaan dan kebajikan.

BACA JUGA Bangunan Pasti Pendang musnah terbakar