PMX masih pilihan utama rakyat? Kajian Vodus letak Anwar jauh di depan

Datuk Seri Anwar Ibrahim masih mencatat kedudukan paling kukuh dalam kalangan lima tokoh yang dinilai sebagai calon Perdana Menteri dalam kajian nasional terbaharu Vodus Research.

Kajian Malaysia Prime Minister Candidate Study 2026 itu mendapati Anwar merekodkan 46 peratus penerimaan, iaitu kadar tertinggi antara lima tokoh dikaji, selain memperoleh 34 peratus sokongan sebagai pilihan pertama.

Lebih menarik, Anwar turut mencatat penerimaan bersih +19 mata peratusan, manakala tahap pengenalan terhadap beliau mencapai 93 peratus, menunjukkan kedudukan Perdana Menteri itu masih mempunyai capaian nasional yang luas.

Kajian membabitkan 1,482 rakyat Malaysia berusia 18 tahun ke atas itu dijalankan dari 18 Ogos hingga 1 September 2026. Vodus menegaskan ukuran penerimaan, pilihan pertama, populariti peribadi dan penolakan merupakan ukuran berbeza dan tidak boleh disamakan.

Satu dapatan yang menonjol ialah sokongan pilihan pertama terhadap Anwar lebih tinggi di Malaysia Timur.

Sebanyak 41 peratus responden di Malaysia Timur memilih Anwar sebagai pilihan pertama, berbanding 28 peratus di Semenanjung.

Menurut pengasas Vodus Research, Dr Kelvin Goh, perbezaan itu mungkin sebahagiannya berkait dengan tumpuan pentadbiran Anwar terhadap Sabah dan Sarawak, termasuk perkembangan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63), hak hasil Sabah dan kawalan Sarawak terhadap sumber negeri.

Dapatan itu turut menunjukkan bahawa antara faktor yang dikaitkan responden dengan pandangan positif terhadap Anwar ialah keupayaan mengembangkan ekonomi dan mewujudkan peluang, pengalaman memimpin Malaysia, mengendalikan hubungan luar, menarik pelaburan asing serta tadbir urus.

Dalam kajian sama, Khairy Jamaluddin mencatat 32 peratus penerimaan dan 14 peratus sokongan pilihan pertama, manakala Datuk Seri Onn Hafiz Ghazi merekodkan 17 peratus penerimaan dan lapan peratus pilihan pertama. 

Datuk Seri Ahmad Samsuri pula memperoleh 13 peratus penerimaan dan enam peratus pilihan pertama, manakala Rafizi mencatat 17 peratus penerimaan dan lapan peratus pilihan pertama.

Menariknya, Khairy mencatat skor tanggapan peribadi bersih tertinggi, +51 mata peratusan, menunjukkan ukuran “disukai secara peribadi” tidak semestinya sama dengan ukuran penerimaan seseorang sebagai Perdana Menteri.

Vodus sendiri menyifatkan dapatan kajian itu sebagai gambaran pandangan responden ketika tempoh tinjauan, bukannya ramalan keputusan pilihan raya akan datang atau sokongan rasmi kepada mana-mana calon.

Namun satu angka jelas daripada kajian itu: dalam kalangan lima tokoh yang diuji, Anwar mendahului dari segi penerimaan keseluruhan dan pilihan pertama.

BACA JUGA Baru seminggu ditangguh, permohonan Najib dilapor dibuka semula esok