Malaysia tempat ketiga dunia, TikToker Indonesia akui “memang keren”
“Lagi-lagi Malaysia dapat rekod baharu. Memang hebat(keren) Malaysia ini,” kata TikToker dari Indonesia, Ramski_07, ketika mengulas kedudukan Malaysia dalam Rumavi Global Relocation Index 2026.
Ramski_07 berkata beliau tertarik dengan kedudukan Malaysia di tempat ketiga dalam indeks berkenaan, selain berkongsi pengalamannya selepas beberapa bulan berada di negara ini.
“Jadi baru-baru ini ada beberapa media nasional yang memberikan kedudukan negara yang paling baik untuk didiami dan paling buruk untuk didiami.
“Dan lagi-lagi Malaysia dapat rekod apa? Indonesia, eh maaf, Malaysia masuk dalam tiga negara terbaik untuk didiami. Memang hebat, memang Malaysia ini,” katanya menerusi video yang dimuat naik di TikTok.
Menurutnya, pengalaman berada di Malaysia membuatkan beliau sendiri dapat merasai beberapa kelebihan yang ditawarkan negara ini, khususnya dari aspek makanan dan pengangkutan.
“Selepas beberapa bulan di Malaysia, baru saya dapat merasakan bahawa dari segi makanan pun harganya berpatutan, selain rasanya juga pelbagai,” katanya.
Namun, aspek yang paling mendapat pujiannya ialah sistem pengangkutan awam Malaysia yang disifatkannya sangat baik.
“Yang paling saya suka ialah dari segi pengangkutan awam. Malaysia memang terbaik.
“Pengangkutannya memang hebat. Ada KRL, MRT, LRT, kemudian Grab, Uber dan sebagainya. Memang hebat Malaysia,” katanya.
Ramski_07 kemudian mengucapkan tahniah kepada Malaysia atas pencapaian tersebut, selain berharap Indonesia turut memperbaiki kedudukannya dalam penarafan seumpama itu pada masa akan datang.
“Tahniah buat Malaysia kerana sudah berada di tempat ketiga sebagai negara paling layak dan terbaik untuk didiami pada 2026.
“Semoga Indonesia selepas ini boleh masuk, sekurang-kurangnya dalam kelompok 20 terbaik,” katanya.
Berdasarkan Rumavi Global Relocation Index 2026, Malaysia mencatatkan skor 72.0 dan berada di tempat ketiga daripada 192 negara yang dinilai, selepas Estonia dengan 72.8 mata dan Singapura dengan 72.6 mata.
Indeks berkenaan menilai 24 indikator yang merangkumi empat bidang utama iaitu kewangan dan percukaian, kebolehdiaman dan kesihatan, keselamatan dan kestabilan serta kemudahan untuk menetap dan peluang.
Dalam perkongsian itu, Ramski_07 turut menjelaskan bahawa pandangannya banyak dipengaruhi pengalaman peribadi selepas beberapa bulan berada di Malaysia, khususnya dari segi kepelbagaian makanan serta kemudahan pengangkutan awam.
“Saya cuma boleh berharap. Yang penting, semoga sahaja MBG digantikan,” katanya sebelum mengakhiri perkongsian tersebut.
BACA JUGA KB Sentral: Dulu sasar siap 2026, kini beranjak ke hujung 2028 pula