Dari penjara ke rumah – Pas yakin Najib masih mampu sumbang kepada negara

Pas menyambut keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang membolehkan beliau menjalani baki hukuman secara tahanan di rumah sehingga 23 Ogos 2028.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata keputusan itu amat bermakna bukan sahaja kepada keluarga Najib, malah kepada rakyat Malaysia yang, menurutnya, mengenang jasa dan khidmat bakti bekas perdana menteri itu. 

Dalam kenyataan hari ini, Takiyuddin turut merafak sembah menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan memberikan pengampunan bersyarat berkenaan.

Pengampunan itu membolehkan Najib menjalani baki hukuman di rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta serta syarat-syarat yang ditetapkan.

Pas berkata perkembangan berkenaan turut membuka ruang untuk Najib terus menyumbang idea, pandangan dan pengalamannya demi kepentingan negara.

“Pas seterusnya mendoakan agar Datuk Seri Mohd Najib terus diberikan kesihatan yang baik semasa menjalani baki hukuman terhadapnya di rumah dan yakin beliau masih boleh memberikan sumbangan idea, pandangan dan pengalamannya demi untuk kebaikan negara,” kata Takiyuddin.

Menurut Takiyuddin, parti itu juga mendoakan agar Najib diberikan kesihatan yang baik sepanjang menjalani baki hukuman tersebut.

Keputusan pengampunan bersyarat itu dibuat dalam Mesyuarat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan kali ke-64 yang berlangsung hari ini, selepas permohonan pengampunan Najib sebelum ini ditangguhkan pada mesyuarat ke-63 pada 11 September. 

Bagaimanapun, pengampunan tersebut bukan tanpa syarat. 

Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri menyatakan jika mana-mana syarat dilanggar, pengampunan itu terbatal dan Najib perlu meneruskan baki hukuman di penjara serta-merta. 

Najib mula menjalani hukuman penjara pada 23 Ogos 2022 selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman terhadapnya dalam kes membabitkan penyelewengan RM42 juta dana SRC International.

Pada Januari 2024, Lembaga Pengampunan memutuskan hukuman penjara Najib dikurangkan daripada 12 kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.