Kalau boleh kumpul ratusan ribu, kenapa tak kutip derma pulihkan skandal kewangan Najib

Jika Umno mampu menggerakkan jentera sehingga mengumpul ratusan ribu ringgit, mengapa kekuatan sama tidak digerakkan untuk membantu memulihkan skandal kewangan ketika Datuk Seri Najib Razak menjadi Perdana Menteri.

Persoalan itu dibangkitkan Exco Pemuda AMANAH Nasional, Fadhli Umar Aminolhuda susulan tindakan Umno melancarkan Tabung Solidariti Najib Razak bagi membantu Najib membayar denda RM50 juta yang menjadi syarat kepada pengampunan beliau.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki sebelum itu mengumumkan sebanyak RM634,562.02 berjaya dikumpulkan hanya dalam tempoh tiga jam.

“Mengapa kepimpinan Umno begitu bersungguh-sungguh meminta rakyat dan ahli parti mengeluarkan wang mereka untuk membantu membayar denda seorang pemimpin yang telah melalui proses kehakiman dan disabitkan bersalah?

“Jika Umno mempunyai kemampuan menggerakkan jentera sehingga ratusan ribu ringgit dapat dikumpulkan dalam masa beberapa jam, mengapa kekuatan yang sama tidak digerakkan untuk membantu negara memulihkan kerugian akibat skandal kewangan yang berlaku ketika Najib menjadi Perdana Menteri?

“Di manakah Tabung Solidariti untuk rakyat Malaysia? Di manakah kutipan besar-besaran untuk membantu memulihkan dana negara?,” soal beliau.

Pada masa sama Fadhli mempersoalkan adakah Asyraf tidak sedar bahawa skandal 1MDB telah menyebabkan negara kerugian lebih RM50 bilion dengan lebih RM20 bilion dianggap sebagai kerugian yang tidak boleh dikembalikan.

Jumlah itu sekurang-kurangnya boleh digunakan kerajaan untuk menyediakan 10 hospital pakar, 100 klinik kesihatan, 150 sekolah, 40,000 unit rumah rakyat serta lebih RM100 juta peruntukan.

Fadhli berkata, pihaknya menghormati kuasa dan keputusan Yang di-Pertuan Agong berhubung pengampunan bersyarat yang diberikan kepada Najib.

Namun, katanya, pengampunan tersebut tidak mengubah hakikat bahawa sabitan jenayah dalam kes SRC telah diputuskan melalui proses mahkamah.

“Mungkin dalam kes buli MRSM Dr Asyraf Wajdi terkenal dengan frasa ‘you touch you go’, tapi dalam kes kecurian oleh Najib ini, you steal we help!” katanya.