Malique sanggup ‘keluar gua’ jumpa Yassin di hospital bahagia demi buat rakaman lagu

Penyanyi dan komposer, Yasin Sulaiman berkongsi detik istimewa apabila akhirnya dapat bertemu semula dengan sahabat lamanya, Malique, selepas kira-kira 20 tahun tidak bersua muka.

Menerusi podcast Sembang Seram baru-baru ini, Yasin menceritakan pertemuan itu berlaku ketika dirinya masih menjalani rawatan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.

Menurut Yasin, Malique merupakan antara tetamu paling istimewa yang hadir menziarahinya ketika berada di hospital berkenaan.

“Dalam ramai-ramai tu ada satu tetamu sangat istimewa, seseorang yang 20 tahun saya tak jumpa dia, sebab dikhabarkan dia duduk di dalam gua.

“Bila masuk Hospital Bahagia, dia datang ziarah saya. Mereka datang buat lagu dengan saya,” katanya.

Yasin berkata, kehadiran Malique ke hospital berkenaan juga memerlukan perancangan yang teliti sebelum mereka dapat bertemu dan menjalani sesi rakaman bersama.

“Nak bawa dia ke bilik teater tu terpaksa diaturkan dengan baik sebab kehadiran dia tu agak riuh juga lah. Iman Tang lah yang arrange pertemuan kami ini,” katanya.

Pertemuan itu berlaku ketika proses penghasilan lagu Yang Tinggal, yang turut mempertemukan semula dua nama besar dalam industri muzik tanah air selepas terpisah selama kira-kira dua dekad.

Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang sebelum ini berkongsi bahawa antara cabaran yang diingatinya ketika menghasilkan lagu berkenaan adalah membawa Malique masuk ke kawasan hospital bagi menjalani sesi rakaman bersama Yasin tanpa menarik perhatian orang sekeliling.

Malique yang sememangnya jarang muncul di khalayak ramai itu sanggup mengetepikan prinsipnya untuk ‘keluar gua’ dan bertemu sendiri dengan Yasin.