Exco Umno berharap semangat kerjasama PH-BN di Pulau Pinang terus dipelihara

Di sebalik perubahan penjajaran politik antara parti-parti di beberapa negeri, kerjasama Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam pentadbiran Pulau Pinang disifatkan masih berjalan dengan baik.

Exco Pembangunan Luar Bandar, Agroteknologi, Keterjaminan Makanan dan Keusahawanan negeri(BN), Datuk Rashidi Zinol berkata, sepanjang kira-kira tiga tahun berada dalam pentadbiran kerajaan negeri, beliau tidak pernah berdepan masalah dalam hubungan kerja dengan pimpinan PKR dan DAP.

Menurutnya, hubungan itu dibina atas dasar saling menghormati, persefahaman serta komunikasi yang baik dengan matlamat mengutamakan kepentingan rakyat.

“Sepanjang tiga tahun menjalankan amanah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya tidak pernah menghadapi sebarang masalah dalam hubungan kerja dengan pimpinan dan rakan daripada PKR serta DAP di sini.

“Sebaliknya, hubungan kerja yang terjalin adalah berasaskan sikap saling menghormati, persefahaman, komunikasi yang baik serta keutamaan terhadap kepentingan rakyat dan pembangunan negeri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rashidi berkata perbezaan latar belakang parti tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada kerjasama sekiranya semua pihak mempunyai matlamat sama untuk memastikan pentadbiran negeri berjalan lancar.

Katanya, persefahaman PH-BN yang terbentuk susulan Pilihan Raya Negeri (PRN) 2023 wajar dihargai dan terus diperkukuhkan.

Kenyataan itu dibuat selepas PH Pulau Pinang pada Ogos lalu memutuskan untuk mengekalkan wakil BN, termasuk Rashidi, dalam pentadbiran kerajaan negeri sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Keputusan berkenaan dibuat berdasarkan pakatan pilihan raya antara PH dan BN pada PRN 2023.

Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow sebelum ini berkata gabungan itu mahu meneruskan kerjasama sedia ada, termasuk mengekalkan Rashidi sebagai Exco kerajaan negeri.

Mengulas perkembangan politik di peringkat Pusat, Rashidi turut menyatakan sokongan terhadap pendirian supaya Kerajaan Perpaduan terus dipertahankan sehingga tamat penggal.

Katanya, kesinambungan kerjasama berkenaan penting bagi memastikan pentadbiran negara kekal stabil selain membolehkan kerajaan memberi tumpuan kepada pelaksanaan dasar serta agenda pembangunan.

“Kestabilan politik bukan sekadar mengenai parti atau jawatan, sebaliknya kemampuan untuk bekerja bersama, menghormati perbezaan dan menyelesaikan perkara yang memberi kesan kepada rakyat,” katanya.

Beliau berharap semangat kerjasama PH-BN di Pulau Pinang terus dipelihara demi kestabilan pentadbiran negeri dan kepentingan rakyat.

Perkembangan itu berlaku ketika hubungan PH-BN menjadi perhatian susulan perubahan penjajaran politik di negeri lain, termasuk Negeri Sembilan, namun kepimpinan PH Pulau Pinang sebelum ini menegaskan kerjasama dengan BN di negeri itu kekal berdasarkan persefahaman PRN 2023.

BACA JUGA RENCANA | Negeri Sembilan di Persimpangan: Krisis kuasa, keluhuran perlembagaan dan ujian ketahanan institusi