55 ekar keluar, tetapi Tanah Rizab Melayu Selangor naik 2,680 ekar
Kerajaan Selangor menjelaskan bahawa pengwartaan keluar tanah Rizab Melayu seluas 55.401 ekar di Tanjong Karang, Sabak Bernam tidak menyebabkan keluasan keseluruhan Tanah Rizab Melayu di negeri itu berkurangan.
Sebaliknya, Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata keluasan sama telah melalui proses pewartaan sebagai Tanah Rizab Melayu di Hulu Selangor bagi mengimbangi keperluan pembangunan dengan kepentingan tanah rizab berkenaan.
Penjelasan itu dibuat selepas timbul persoalan mengenai status Tanah Rizab Melayu di Sabak Bernam susulan pewartaan pada 3 September 2026.
Amirudin berkata tanah seluas 55.401 ekar di Tanjong Karang itu dikeluarkan daripada status Rizab Melayu khususnya bagi pembangunan Sabak Bernam Development Area (SABDA).
Menurutnya, SABDA merupakan usaha kerajaan negeri membangunkan kawasan utara Selangor dengan memberi tumpuan kepada keterjaminan makanan dan potensi agro-pelancongan di kawasan Pesisir Pantai Barat.
“Usaha ini turut meningkatkan peluang pekerjaan bagi warga tempatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pembangunan SABDA, katanya, diterajui anak syarikat kerajaan negeri, Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI), dengan turut melibatkan komuniti tempatan termasuk nelayan dan usahawan serta pihak akademia.
Namun, pada masa sama, Amirudin berkata kerajaan negeri mengambil kira kepentingan Tanah Rizab Melayu dalam pelaksanaan pembangunan berkenaan.
“Bagi mencapai keseimbangan antara pembangunan tempatan serta kepentingan Tanah Rizab Melayu, tanah dengan keluasan yang sama iaitu 55.401 ekar di Hulu Selangor turut melalui proses pewartaan sebagai Tanah Rizab Melayu,” katanya.
Amirudin turut memberi angka keseluruhan yang menurutnya menunjukkan keluasan Tanah Rizab Melayu di Selangor meningkat 2,680 ekar sejak 2018 berbanding jumlah di bawah pentadbiran terdahulu.
Katanya, keluasan itu meningkat daripada 400,711 ekar kepada 403,391 ekar.
Penjelasan berkenaan secara tidak langsung meletakkan isu 55.401 ekar di Tanjong Karang dalam konteks lebih luas, iaitu bukan sekadar tanah yang dikeluarkan daripada rizab tetapi turut melibatkan proses penggantian kawasan dengan keluasan sama.
Amirudin menegaskan perkara itu dalam kenyataan bertarikh 22 September 2026, ketika persoalan mengenai status Tanah Rizab Melayu di Sabak Bernam terus menjadi perhatian.
BACA JUGA 55 rakyat Malaysia masih hilang, Anwar aju mekanisme khas kepada PM Nepal