Pas bezakan ‘Madani Hidayah’ dengan ‘Madani Jibayah’, anggap rakyat boleh diperbodoh dengan slogan suara rakyat
Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang membezakan konsep “madani hidayah” berasaskan petunjuk Allah dengan “madani jibayah” yang dianggapnya bergantung kepada kewangan semata-mata atau takhta yang berharta.
Dalam Minda Presiden Pas hari ini bertajuk, “Mana Model Negara Islam Perjuangan Pas”, Hadi menjadikan negara Madinah sebagai contoh pemerintahan yang bercirikan “madani hidayah”.
Hadi sebelum itu merujuk kisah dalam al-Quran mengenai kerajaan Nabi Dawud AS yang menjadi khalifah serta kerajaan Nabi Sulaiman AS dan Zulqarnain AS yang disifatkan sebagai raja yang adil dan dipuji Allah.
Ahli Parlimen Marang lebih 30 tahun itu berkata, pemerintahan berkenaan “bermadani dengan hidayah Allah”, manakala kerajaan zalim pula ujarnya, “bermadani dengan ciptaan manusia yang dibinasakan”.
Pemimpin utama dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) itu turut membawa contoh pemerintahan Namrud di Babylon, Firaun di Mesir, kaum ‘Ad dan Thamud serta negara Athens yang menggunakan konsep demokrasi purba berasaskan kuasa rakyat.
Jelasnya, bentuk pemerintahan sedemikian sebagai “bermadani kebendaan” dan mendakwa semuanya menolak tawaran para anbiya’ yang berasaskan kepatuhan kepada Allah serta berwawasan dari dunia hingga akhirat.
Suara rakyat
Dalam tulisan sama, Hadi berkata, Rasulullah SAW menolak negara teokrasi yang meletakkan kuasa mutlak di tangan agamawan, selain menolak slogan “suara rakyat, suara Tuhan” atau vox populi, vox dei.
Slogan seumpama itu ditolak kerana rakyat boleh “diperbodohkan, dibeli dan dibuli”, tegas bekas Duta Khas kepada Perdana Menteri ke Timur Tengah era pentadbiran Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu.
Bagaimanapun, Hadi berkata, terdapat perkara tertentu yang diizinkan kepada pemimpin dan rakyat untuk ditentukan menggunakan kemampuan akal serta pengalaman, dengan berbekalkan ilmu wahyu dan ilmu akal.
Katanya, pendekatan itu mencerminkan ajaran Islam yang bersifat wasatiyyah atau saksama dan adil, manakala pemimpin pula perlu ditarbiah dengan ilmu dan perjuangan, berintegriti, berkebajikan dan mampu memimpin masyarakat majmuk.
Selain itu, Hadi menyatakan Islam pernah memimpin dunia selama 13 abad dan berpendapat negara Islam yang merdeka boleh gagal apabila terus mengekalkan ideologi warisan penjajah serta ideologi yang diimport.
BACA JUGA Exco Umno berharap semangat kerjasama PH-BN di Pulau Pinang terus dipelihara