Tugas SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri Sembilan digantung serta-merta – Ismail
Kemelut pentadbiran Negeri Sembilan memasuki fasa baharu apabila Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) memutuskan untuk menggantung tugas Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Datuk Mohd Zafir Ibrahim dan Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Muzalmah Mustapha Kamal berkuat kuasa serta-merta.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berkata, keputusan itu dibuat secara sebulat suara dalam Mesyuarat Khas MMKN yang berlangsung hari ini.
Menurut kenyataan media Ismail, Datuk Masri Razali yang kini merupakan Pegawai Kewangan Negeri dinamakan untuk menjalankan tugas SUK sehingga SUK baharu dinamakan oleh Ketua Setiausaha Negara.
Bagi tugas memberikan nasihat perundangan pula, ia akan dilaksanakan oleh seorang peguam bela dan peguam cara, Fahmi Adilah, sehingga Penasihat Undang-Undang Negeri yang baharu dinamakan oleh Jabatan Peguam Negara.
Ismail berkata, notis penggantungan tugas SUK akan dimaklumkan kepada Ketua Setiausaha Negara dan Jabatan Perkhidmatan Awam.
Sementara itu, notis penggantungan Penasihat Undang-Undang Negeri akan dimaklumkan kepada Jabatan Peguam Negara, menurut kenyataan berkenaan.
Perkembangan itu berlaku ketika kemelut perlembagaan Negeri Sembilan semakin meruncing susulan pertikaian berhubung kedudukan Yang di-Pertuan Besar, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta status pelantikan Ahli MMKN.
Pada 20 September lalu, Istana Negeri Sembilan memaklumkan pembatalan pelantikan kesemua 10 Ahli MMKN berkuat kuasa serta-merta, dengan alasan mereka didapati memungkiri sumpah jawatan.
Bagaimanapun, Ismail sebelum ini menegaskan kesemua anggota MMKN masih sah untuk menjalankan tugas, dengan pendirian kerajaan negeri berasaskan tafsiran terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.
Dalam kenyataan terbaharunya hari ini, Ismail turut mengesahkan bahawa semua jawatan Ahli MMKN masih kekal dan sah.
“Pada masa yang sama, pentadbiran Kerajaan Negeri Sembilan akan terus berjalan seperti biasa dan amanah kepada rakyat akan terus dilaksanakan dengan sebaik-baiknya,” katanya dalam kenyataan bertarikh 22 September 2026.
Penggantungan dua pegawai kanan kerajaan negeri itu menambah satu lagi perkembangan penting dalam pertikaian yang kini melibatkan tafsiran kuasa, kedudukan institusi negeri serta peranan pelbagai pihak dalam struktur pemerintahan Negeri Sembilan.
BACA JUGA Exco Umno berharap semangat kerjasama PH-BN di Pulau Pinang terus dipelihara