19 menara JENDELA di Pensiangan hapus titik buta komunikasi, pastikan komuniti tidak lagi tertinggal – Pensyarah UMS

Pembinaan 19 menara komunikasi baharu di kawasan Pensiangan di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) berjaya membantu mengurangkan masalah titik buta komunikasi, khususnya bagi akses internet dan telefon mudah alih.

Usaha memperkukuh infrastruktur komunikasi itu penting bagi kawasan luar bandar dan pedalaman yang berdepan cabaran menyediakan liputan akibat keadaan muka bumi, kawasan berbukit dan topografi yang mencabar.

Pelaksanaan infrastruktur komunikasi yang lebih baik juga boleh membantu memperluaskan kawasan liputan selular serta meningkatkan kualiti capaian jalur lebar 4G untuk kegunaan harian masyarakat.

Pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad, berkata beliau optimis pembinaan 19 menara komunikasi baharu itu dapat mengurangkan masalah titik buta atau kawasan yang berdepan masalah liputan di kawasan di bawah Parlimen Pensiangan.

“Saya optimis dan yakin pembinaan 19 menara komunikasi baharu di bawah JENDELA dapat dan akan berupaya mengurangkan masalah titik buta atau ‘pocket area’ di DUN atau daerah-daerah di bawah Parlimen Pensiangan, sekurang-kurangnya pada tahap paling minimum, khususnya bagi akses internet dan telefon mudah alih,” kata beliau ketika dihubungi.

Beliau yang juga pakar komunikasi dan wacana media sosial berkata, kawasan pedalaman dalam banyak lokasi di daerah-daerah yang jauh dari bandar di Sabah, sering menghadapi gangguan capaian akibat faktor geografi fizikal yang berbukit-bukau serta bentuk muka bumi yang mencabar. 

Justeru menurutnya, pembinaan struktur pemancar fizikal baharu itu diyakini dapat memperluas radius perkhidmatan selular sekali gus merapatkan jurang titik buta atau pocket area di penempatan penduduk di pedalaman.

“Langkah penambahan infrastruktur digital tempatan ini juga secara langsung mempertingkatkan peratusan kualiti liputan jalur lebar 4G untuk kegunaan seharian masyarakat setempat. 

“Apa yang penting, peningkatan pencapaian infrastruktur teknikal ini membolehkan talian komunikasi dihantar secara stabil tanpa mengalami masalah gangguan isyarat atau line telco yang terputus-putus seperti sebelumnya,” tambahnya lagi.

Dr Syahruddin berpendapat, liputan komunikasi yang bertambah baik memberikan kemudahan besar kepada seluruh penduduk Pensiangan untuk saling berhubung dan mengakses maklumat secara pantas.

Malah, capaian talian mudah alih yang stabil membolehkan interaksi jarak jauh dilaksanakan tanpa halangan seperti masalah panggilan terputus. 

“Penduduk di sana nanti akan boleh memanfaatkan pelbagai aplikasi pemesejan, perkhidmatan panggilan suara serta panggilan video berkualiti tinggi bagi berhubung dengan ahli keluarga di luar kawasan. 

“Selain itu, akses talian internet yang lancar dan konsisten turut berupaya mempercepatkan penyampaian atau penyebaran berita terkini, pengumuman rasmi oleh pihak berkepentingan di daerah berkenaan atau mesej rasmi kerajaan berkaitan dengan dasar awam, serta amaran tentang kejadian bencana. 

“Perkara ini sekali gus memperkasakan keupayaan komuniti setempat dalam mendapatkan perkhidmatan penting seprti urusan pentadbiran, bantuan kecemasan dan kesihatan dengan lebih berkesan,” kata beliau lagi.