Pensiangan Sabah kini terhubung, menara JENDELA buka peluang pendidikan, ekonomi penduduk – Pakar
Pembinaan 19 menara komunikasi baharu di kawasan Pensiangan di bawah inisiatif Jalinan Digital Negara (JENDELA) dilihat berupaya membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat setempat dalam bidang pendidikan dan ekonomi.
Akses internet yang lebih baik membolehkan masyarakat luar bandar memanfaatkan kemudahan digital untuk mendapatkan bahan pembelajaran, maklumat serta perkhidmatan secara dalam talian.
Dalam bidang ekonomi pula, capaian internet yang baik boleh memberi ruang kepada penduduk menggunakan platform digital untuk memasarkan produk serta memperkenalkan aktiviti ekonomi tempatan kepada pasaran yang lebih luas.
Pensyarah Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof. Madya Dr. Syahruddin Awang Ahmad, berkata akses internet yang kukuh dan berkualiti mampu membuka peluang lebih luas dalam bidang pendidikan dan ekonomi kepada masyarakat Pensiangan.
“Kemudahan akses internet yang mantap dan berkualiti tinggi akan dapat membuka peluang luas dalam pelbagai sektor terutama pendidikan dan ekonomi buat masyarakat setempat di Pensiangan.
“Pelajar serta guru di kawasan pedalaman kini dapat mengakses platform pembelajaran dalam talian, bahan rujukan digital dan perpustakaan maya secara lebih efektif,” kata beliau ketika dihubungi.
Dalam aspek pembangunan sosioekonomi tempatan, Dr Syahruddin berpendapat bahawa infrastruktur digital yang baik sebenarnya membolehkan penduduk memasarkan produk pertanian, kraf tangan mahupun menjayakan promosi untuk destinasi ekopelancongan secara terus melalui platform perniagaan e-dagang.
Aktiviti keusahawanan digital sebegini juga akan membantu penduduk luar bandar memperluas skop dan segmen pasaran barangan tempatan ke luar dari daerah asal mereka.
“Secara keseluruhan, transformasi teknologi ini berupaya meningkatkan pendapatan isi rumah masyarakat setempat dan seterusnya memacu pembangunan modal insan secara menyeluruh atau holistik di Pensiangan,” ujarnya.
Pada masa sama, Dr Syahruddin yang juga pensyarah di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan berkata, langkah membangunkan 19 unit menara komunikasi bahru ini sebagai antara usaha penting untuk merapatkan jurang digital antara masyarakat Pensiangan dengan kawasan lain.
“Sebelum ini, komuniti luar bandar sering tertinggal dari maklumat akibat kualiti dan keupayaan akses maklumat berbanding penduduk di kawasan bandar.
“Pelaksanaan projek JENDELA ini bagi saya akan dapat memastikan kadar penembusan capaian jalur lebar di kawasan pedalaman dapat ditingkatkan dan disetarakan sejajar dengan tahap piawaian capaian internet kebangsaan.
“Penyediaan kemudahan perkhidmatan digital yang setaraf dengan kemudahan sedia ada di bandar-bandar ini akan dapat menghapuskan rasa terasing dan rendah diri dalam kalangan masyarakat luar bandar,” tambahnya.
Dalam pada itu beliau berkata , penyediaan infrastruktur telekomunikasi yang seimbang membantu memperkasakan keterangkuman digital, sekali gus membolehkan komuniti Pensiangan menikmati faedah kemajuan teknologi serta arus pembangunan negara secara konsisten dan saksama.