Mulanya nak jumpa Tunku Nadzaruddin, akhirnya Ismail hanya bersarapan dengan bekas Exco, ADUN
Perjumpaan yang pada awalnya dijadualkan membabitkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim bersama barisan bekas Exco dengan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar pagi ini akhirnya tidak jadi.
Sebaliknya, Ismail dilaporkan hanya bersarapan bersama barisan bekas Exco terbabit serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas pertemuan berkenaan dibatalkan atas faktor keselamatan.
Lapor BH memetik sumber, keputusan membatalkan pertemuan itu dibuat selepas mengambil kira keadaan semasa serta nasihat pihak berkuasa berkaitan aspek keselamatan.
“Perjumpaan di sebuah hotel dibatalkan atas faktor keselamatan selepas mendapat nasihat pihak berkuasa,” kata sumber berkenaan.
Pertemuan itu sebelum ini dijadualkan berlangsung di Galeri Diraja Tuanku Ja’afar pada jam 9 pagi sebagai sesi suai kenal dan bagi mengeratkan hubungan antara Ismail, mantan barisan Exco dengan Tunku Nadzaruddin.
Sebelum ini, Ismail dan bekas barisan Exco berkenaan dilapor dijadualkan menghadiri Majlis Menghadap Sembah Takzim yang dijangka turut melibatkan Undang Yang Empat, Tunku Besar Tampin dan Dato’ Shahbandar Sungei Ujong.
Pertemuan yang tidak jadi diadakan sebaliknya berakhir dengan acara sarapan bersama kumpulan mantan Exco berkenaan dan beberapa ADUN kerajaan itu berlaku Ketika kemelut isu kerajaan Negeri Sembilan masih berlarutan.
Berkuat kuasa serta-merta pada 20 September lalu, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir membatalkan pelantikan semua Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri terbabit.
Mereka telah memungkiri sumpah jawatan manakala Menteri Besar dititahkan supaya mengemukakan senarai calon baharu untuk pertimbangan dan perkenan baginda.
Ismail bagaimanapun mempertikaikan keputusan istana itu dan menegaskan barisan Exco diterajuinya masih sah serta akan terus menjalankan tugas seperti biasa.
BACA JUGA Bukan pasal tanah adat pun, khazanah nadir bumi RM30 bilion didakwa punca kemelut Negeri Sembilan