Dron bawa ubat ke pedalaman Tawau, sejauh mana kaedah ini praktikal? Ini kata pakar
Penggunaan dron bagi menghantar bekalan perubatan ke kawasan pedalaman seperti Tawau dilihat sebagai kaedah yang praktikal kerana mampu memintas laluan darat yang mencabar serta mempercepatkan proses penghantaran.
Pakar teknologi dron, Ts. Dr Yasir Mohd Mustafah yang juga pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, penggunaan teknologi itu berpotensi menjadi alternatif kepada kaedah penghantaran biasa yang berdepan kekangan akses ke kawasan pedalaman.
Bagaimanapun beliau berkata, kajian lebih mendalam perlu dijalankan bagi menjamin aspek keselamatan dan keberkesanan penggunaan dron, selain memastikan infrastruktur yang mencukupi tersedia.
“Penggunaan dron untuk penghantaran bekalan perubatan di kawasan pedalaman seperti Tawau adalah sangat praktikal. Dron boleh terbang memintas laluan darat yang mencabar dengan lebih efisien dan pantas.
“Walau bagaimanapun, kajian mendalam perlu dijalankan untuk memastikan keselamatan dan keberkesanan penggunaan dron. Infrastruktur yang mencukupi juga diperlukan,” katanya ketika dihubungi.
Menurut Yasir, antara cabaran utama penggunaan dron bagi tujuan itu ialah faktor cuaca yang boleh mengganggu penerbangan, selain aspek penyelenggaraan, ketahanan bateri, liputan rangkaian telekomunikasi dan GPS.
Beliau berkata keperluan tenaga pakar teknikal juga perlu diberi perhatian bagi memastikan operasi penghantaran dapat dilaksanakan dengan baik.
Yasir berkata, penghantaran ubat pada jarak jauh masih boleh dilaksanakan dengan selamat sekiranya dron yang digunakan mempunyai reka bentuk dan spesifikasi bersesuaian.
“Penghantaran ubatan boleh dilalukan dengan reka bentuk dan spesifikasi dron yang sesuai.
“Dalam menangani isu cuaca yang tidak menentu, selain reka bentuk dron dengan ketahanan cuaca yang tinggi, sistem navigasi berasakan AI dan penjadualan penenerbangan dinamik boleh digunakan,” katanya.
Beliau turut berpandangan inisiatif berkenaan wajar diperluaskan ke kawasan pedalaman lain di Sabah dan Sarawak, khususnya kawasan yang bergantung kepada pengangkutan seperti helikopter atau bot.
“Pada pendapat saya, inisiatif ini amat wajar diperluaskan ke pelbagai kawasan pedalaman lain terutamanya di kawasan yang bergantung kepada pengangkutan helikopter atau bot.
“Saya berharap kejayaan projek rintis di Tawau boleh dijadikan contoh bagi kawasan lain,” katanya lagi.