MCMC, telco aktif pengurusan rangkaian khas, TM naik kapasiti internet ke 2 Gbps
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama syarikat telekomunikasi mengaktifkan pengurusan rangkaian khas di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) bagi memastikan capaian internet kekal lancar ketika Sambutan Hari Malaysia 2026.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata persediaan digital di lokasi berkenaan bermula beberapa hari lebih awal menerusi penempatan aset sementara dan penambahan titik capaian bagi menampung penggunaan tinggi.
Beliau berkata langkah itu diperlukan memandangkan lebih 5,000 tetamu serta petugas dijangka menggunakan rangkaian secara serentak ketika sambutan peringkat kebangsaan pada 16 September lalu.
Teo berkata demikian selepas melawat Pusat Pemantauan Rangkaian MCMC di BCCK, yang turut disertai Pengarah Urusan MCMC Abdul Karim Fakir Ali.
Menurutnya, kerjasama daripada syarikat telco turut menyaksikan kapasiti capaian ditingkatkan melebihi keperluan awal yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Antaranya, Telekom Malaysia (TM) meningkatkan kapasiti rangkaian di lokasi berkenaan kepada dua gigabit sesaat (Gbps) berbanding permintaan asal sebanyak 800 megabit sesaat (Mbps).
“Kita hanya minta 800 Mbps, tapi akhirnya mereka sendiri naik taraf ke dua Gbps,” kata Teo.
Peningkatan itu, katanya, membolehkan rangkaian menampung ribuan pengguna di dalam dewan tanpa menjejaskan kelancaran capaian internet sepanjang acara berlangsung.
Lawatan tersebut turut memperlihatkan bagaimana MCMC menggunakan pusat pemantauan rangkaian bagi memerhatikan prestasi perkhidmatan ketika berlaku lonjakan penggunaan. MCMC sebelum ini menggunakan pendekatan pemantauan seumpama itu bagi acara besar negara, manakala aplikasi MCMC NEXUS membolehkan data prestasi rangkaian sebenar dikumpul untuk mengenal pasti kawasan liputan lemah dan isu kualiti perkhidmatan.
Pada pelancaran NEXUS pada Mac lalu, Teo berkata pendekatan berasaskan data membolehkan penambahbaikan rangkaian dibuat secara lebih bersasar serta membantu MCMC memantau komitmen penyedia rangkaian dengan lebih telus.