Sejak bila mereka ada mandat? – Anwar tegur keras isu Tuanku Muhriz dilucut tahta oleh MB dan  Exco Negeri Sembilan

 Kemelut takhta Negeri Sembilan terus memuncak apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim secara terbuka mempertikaikan tindakan Menteri Besar Ismail Lasim dan barisan Exco negeri yang mengesahkan proklamasi berkaitan penurunan takhta Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.

Anwar menyifatkan tindakan itu sebagai “biadab” dan “tidak bertamadun”, sambil menegaskan kerajaan negeri tidak mempunyai mandat untuk mempertikaikan kedudukan Yang di-Pertuan Besar.

“Menteri Besar dan EXCO yang membuat keputusan, ini langkah biadab, tidak ada tamadun dan saya bantah keras. Sejak bila mereka ada mandat nak pertikai kedudukan Raja?” katanya.

Anwar berkata demikian ketika ditemui media dalam perjalanan menaiki kereta api laju dari Shanghai ke Hangzhou, hari ini.

Teguran itu hadir ketika pertikaian mengenai kedudukan Tuanku Muhriz semakin melebar selepas Ismail mengesahkan bahawa proklamasi berhubung penurunan takhta baginda telah diputuskan dan disahkan secara sebulat suara oleh Exco negeri. 

Sebelum ini, Jabatan Peguam Negara (AGC) menyatakan proklamasi bertarikh 19 April berhubung kedudukan Tuanku Muhriz tidak sah kerana tidak mematuhi keperluan mandatori Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

AGC juga menegaskan Menteri Besar dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar. 

Bagaimanapun, isu itu bukan semata-mata mengenai pendirian kerajaan negeri, kerana terdapat percanggahan tafsiran mengenai kuasa Undang dan proses yang perlu dipatuhi dalam menentukan kedudukan Yang di-Pertuan Besar.

Anwar menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak campur tangan dalam urusan penurunan takhta, namun pada masa sama kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan institusi negara dan kestabilan perlembagaan terus terpelihara.

“Saya hormati Undang, sebahagiannya saya kenal baik. Tapi dia kena faham, kita tak campur. Tapi kita kena jaga negara. Keselamatan negara, institusi, itu tanggungjawab kita,”ujarnya.

Menurut Anwar, kuasa Undang dalam perkara berkaitan Yang di-Pertuan Besar juga perlu dilaksanakan berdasarkan peraturan dan proses yang ditetapkan, bukannya dianggap sebagai kuasa mutlak.

“Tak boleh Undang buat keputusan, tapi Undang buat keputusan itu bukan mutlak, dia kena ikut juga peraturan,” katanya memetik Harian Metro.

Beliau berkata keadaan menjadi lebih rumit kerana kini terdapat percanggahan mengenai siapa yang sebenarnya mempunyai kedudukan sebagai Undang yang sah serta pihak yang mempunyai bidang kuasa untuk membuat keputusan berhubung takhta Negeri Sembilan.

“Sekarang kita dengar dua-dua, ada dua pihak, satu Undang kata dia Undang, ada Undang kata tak,”katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Dewan Keadilan dan Undang (DKU) sebelum ini menegaskan Tuanku Muhriz kekal sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah dan menyifatkan keputusan kerajaan negeri berkaitan proklamasi itu tidak mempunyai kesan undang-undang. 

Anwar berkata beliau memilih untuk menghadap Tuanku Muhriz baru-baru ini kerana kedudukan baginda sebagai Yang di-Pertuan Besar yang sah perlu dihormati berdasarkan keputusan mahkamah, sambil menegaskan bahawa sebarang proses berkaitan takhta perlu diselesaikan mengikut peraturan.

“Jadi saya kata, putuskan dulu. Kalau semua Undang sudah ikut proses yang betul dan Undang dilantik dia buat keputusan, itu luar daripada bidang kuasa saya,”katanya.

Pertikaian itu kini turut memasuki fasa baharu selepas Tuanku Muhriz pada 20 September membatalkan pelantikan 10 anggota Exco negeri, dengan alasan mereka telah memungkiri sumpah jawatan. Ismail bagaimanapun mempertikaikan kesahan tindakan berkenaan.