Citrawarna Speed Festival bawa budaya Malaysia ke pentas pelancongan sukan

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Program Citrawarna Speed Festival 2026 oleh Tuan Wizani Rosmin Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia melalui Sekretariat VM2026 di Lower Ground, East Court, IOI City Mall, Putrajaya. 23hb September 2026 (Rabu)

Tourism Malaysia mengambil peluang daripada penganjuran perlumbaan F1 di Bahrain pada 2 hingga 4 Oktober ini untuk mengetengahkan keunikan seni dan budaya Malaysia menerusi Citrawarna Speed Festival 2026.

Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) Tourism Malaysia, Wizani Rosmin berkata, festival berkenaan membawa kelainan apabila elemen warisan dan kebudayaan tempatan digabungkan dengan konsep pelancongan sukan atau sports tourism.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Citrawarna Speed Festival 2026 anjuran Tourism Malaysia melalui Sekretariat Visit Malaysia 2026 (VM2026) di Lower Ground, East Court, IOI City Mall, Putrajaya, hari ini.

Menurutnya, program Citrawarna kali ini melibatkan beberapa pengisian yang berlangsung di IOI City Mall Putrajaya, Sama-Sama Hotel KLIA serta Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

“Penganjuran pada kali ini merupakan satu kelainan yang kita bawakan dalam aspek sports tourism, di mana kita menonjolkan warisan budaya dalam elemen pelancongan sukan.

“Tujuannya adalah untuk memberikan peluang kepada masyarakat Malaysia serta pelancong dalam dan luar negara merasai sendiri pengalaman sebuah negara yang mempunyai kepelbagaian kaum, makanan, budaya dan cara kehidupan,” katanya.

Wizani berkata, pendekatan berkenaan juga diharap mampu memberikan pengalaman berbeza kepada pelancong asing yang berada di negara ini, selain membolehkan rakyat tempatan turut merasai kemeriahan acara sukan permotoran antarabangsa.

Katanya, usaha itu dilaksanakan ketika industri pelancongan negara menunjukkan momentum positif berdasarkan perkembangan ketibaan pelancong asing dari Januari hingga Jun 2026.

Dalam pada itu, Tourism Malaysia turut menyediakan persembahan kebudayaan berskala besar menerusi program Citrawarna Colours of Red yang dijadual berlangsung pada 3 Oktober bermula jam 8 malam di Symphony Walk, IOI City Mall.

Menurut Wizani, kira-kira 1,500 penari dari seluruh negara bakal dihimpunkan bagi mempersembahkan pelbagai tarian tradisional yang mencerminkan kepelbagaian budaya Malaysia.

“Kita mengumpulkan 1,500 penari dari seluruh negeri untuk memperagakan tarian tradisional dan kelainannya pada kali ini.

“Kita juga akan menampilkan cross-band daripada tiga kumpulan yang membawa elemen kebudayaan dan persembahan budaya,” katanya.

Penganjuran Citrawarna Speed Festival 2026 itu menjadi antara usaha Tourism Malaysia menggabungkan tarikan seni, budaya dan acara sukan bagi memperkayakan pengalaman pelancong menjelang Visit Malaysia 2026.