PH Pulau Pinang nak ‘semak semula’ kerjasama dengan Umno
Kedudukan Umno dalam kerajaan Pulau Pinang bakal dibincangkan semula hujung minggu ini, selepas hubungan antara parti itu dengan Pakatan Harapan (PH) negeri semakin tegang susulan beberapa kenyataan pada Perhimpunan Agung Umno (PAU) baru-baru ini.
Timbalan Pengerusi PH Pulau Pinang, Faiz Fadzil berkata perkara itu akan menjadi antara agenda mesyuarat PH negeri yang dijadualkan berlangsung pada Sabtu ini di pejabat DAP Pulau Pinang.
Menurutnya, mesyuarat itu perlu diadakan susulan kenyataan beberapa perwakilan Umno yang disifatkannya sebagai serangan terhadap PH dan kerajaan negeri.
“Kita tak pernah serang Umno dalam mana-mana program di peringkat negeri.
“Bila berlaku beberapa kenyataan di PAU daripada perwakilan Umno tidak sepatutnya dan telah mengguris hati,” katanya seperti dipetik FMT.
Faiz berkata PH Pulau Pinang sebelum ini telah membuat keputusan untuk mengekalkan Umno dalam pentadbiran negeri.
Memetik laporan FMT, menurut Faiz, perkembangan terbaharu menyebabkan pendirian itu perlu dibincangkan semula.
“Di Perak dan Pahang kita jaga hubungan baik. Kenapa Umno bermain begini apabila perwakilan mereka menghentam PH dan kerajaan Pulau Pinang.
“Kalau exco Umno mahu kekal dalam kerajaan, mereka mesti jujur,” katanya.
Perkembangan itu menarik perhatian kerana Umno ketika ini masih mempunyai wakil dalam pentadbiran kerajaan Pulau Pinang, sedangkan pada masa sama hubungan politik BN dengan PH berdepan tekanan susulan perkembangan di negeri lain.
Pada Ogos lalu, Pengerusi PH Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata pendirian untuk meneruskan kerjasama dengan BN dan Umno dalam kerajaan negeri masih kekal.
Dalam masa sama, Adun Sungai Acheh, Rashidi Zainol menggesa kerjasama BN-PH di Pulau Pinang diteruskan.
Rashidi, yang merupakan satu-satunya wakil BN dalam kerajaan negeri, menyifatkan kerjasama berkenaan sebagai membina serta memberi manfaat kepada negeri.
Beliau berkata perbezaan latar belakang parti tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada kerjasama selagi kepentingan rakyat menjadi tumpuan.
Chow sebelum ini turut berkata kepimpinan PH negeri belum menerima sebarang arahan daripada kepimpinan pusat berhubung kedudukan Umno dalam kerajaan negeri.
Ketegangan itu turut dikaitkan dengan ucapan Ketua Umno Permatang Pauh, Zaidi Said pada PAU yang berlangsung 12 September lalu.
Zaidi mendakwa strategi Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi untuk bekerjasama dengan PKR bertujuan melemahkan Umno, yang menurutnya akhirnya boleh memberi kesan kepada DAP.
Beliau turut menyifatkan DAP sebagai “musuh utama” Umno dan berkata parti itu tidak boleh dikalahkan secara langsung kerana mempunyai sokongan pengundinya sendiri.
Pada 16 September, Zaidi dilaporkan meletakkan jawatan sebagai ahli majlis Majlis Bandaraya Seberang Perai susulan ucapan tersebut.
Isu kedudukan Umno di Pulau Pinang sebenarnya sudah dicetuskan lebih awal oleh Penasihat DAP, Lim Guan Eng.
Pada 14 September, Guan Eng menggesa kerajaan Pulau Pinang pimpinan PH supaya “menutup pintu” kepada Umno susulan perkembangan hubungan BN dengan PN di Negeri Sembilan.
BACA JUGA Dron bawa ubat ke pedalaman Tawau, sejauh mana kaedah ini praktikal? Ini kata pakar