Harap pembangunan Sepang tidak terhenti dalam minit mesyuarat – Aiman Athirah

Masalah pembangunan dan keperluan rakyat di Sepang tidak seharusnya berakhir sekadar sebagai catatan dalam minit mesyuarat, sebaliknya memerlukan tindakan susulan yang jelas serta penyelarasan antara agensi, kata Ahli Parlimen Sepang, Datuk Aiman Athirah Sabu.

Beliau berkata perkara itu menjadi antara penekanan dalam perbincangannya bersama Pegawai Daerah Sepang, Khairi Azali Ibrahim pada 14 September lalu, yang menyentuh pelbagai isu pembangunan serta keperluan rakyat di daerah berkenaan.

Antara perkara dibincangkan termasuk isu jalan dan projek yang mengalami kelewatan, kewujudan tapak pembuangan sampah haram, keperluan sekolah baharu, banjir, pusat pemindahan khas, perumahan serta kebajikan rakyat.

Menurut Aiman Athirah yang juga Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, pembangunan pesat Sepang menjadikan penyelarasan antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, Pejabat Daerah, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi teknikal semakin penting.

14 tapak sampah haram perlu tindakan

Antara isu yang mendapat perhatian ialah kewujudan kira-kira 14 tapak pembuangan sampah haram yang memerlukan intervensi khusus.

Aiman Athirah berkata usaha menangani masalah itu bukan hanya melibatkan pembersihan, tetapi turut memerlukan tindakan penguatkuasaan, penyelarasan bidang kuasa dan langkah pencegahan supaya kawasan yang telah dibersihkan tidak kembali menjadi lokasi pembuangan sampah.

Beliau turut memaklumkan satu mesyuarat bersama exco akan diatur menerusi inisiatif Terjah dan Tindak di bawah Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Sepang.

Penglibatan agensi berkaitan pula akan dikenal pasti bersama Pejabat Daerah dan Tanah Sepang serta Majlis Perbandaran Sepang.

Dalam isu infrastruktur, beberapa keperluan jalan turut dibincangkan termasuk Jalan Bukit Damar, akses Kampung Batu Satu dan Jalan Ahmad Khusairi.

Bagi projek yang mengalami kelewatan, Aiman Athirah menekankan supaya sebarang langkah pemulihan dan pelantikan kontraktor penyiap mengambil kira keupayaan, kapasiti serta rekod prestasi kontraktor.

Langkah itu penting bagi mengelakkan kelewatan berulang dan memastikan kepentingan rakyat terus terbela.

Pertumbuhan penduduk di beberapa kawasan turut meningkatkan keperluan terhadap kemudahan pendidikan.

Antara kawasan yang dikenal pasti termasuk Jenderam, Southville, Bandar Baru Salak Tinggi, Kota Warisan dan Cyberjaya.

Menurut Aiman Athirah, perbincangan teknikal perlu digerakkan bagi meneliti status tanah, unjuran pertumbuhan penduduk, kapasiti sekolah sedia ada serta keperluan infrastruktur.

Beliau turut meminta perkara itu dibawa ke peringkat Jawatankuasa Pembangunan Daerah dan Negeri dengan pelan tindakan serta garis masa yang lebih jelas.

Isu banjir turut menjadi perhatian, khususnya keperluan mewujudkan sebuah pusat pemindahan khas yang kekal dan bersesuaian di Dengkil.

Aiman Athirah berkata beliau mengambil maklum cadangan awal yang telah dimajukan Pejabat Daerah dan Tanah Sepang kepada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Perbincangan bersama Ketua Pengarah NADMA akan disusun oleh Pejabat Timbalan Menteri KPKT, manakala Pegawai Daerah diminta menyediakan maklumat berkaitan bagi membantu permohonan tersebut.

Aiman Athirah menegaskan pembangunan Sepang memerlukan penyelarasan rentas agensi berikutan pertumbuhan penduduk, pembangunan perumahan, keperluan sekolah, jalan raya, isu banjir, kebersihan dan kemudahan komuniti yang saling berkait.

Katanya, perkara lebih penting bukan berapa banyak mesyuarat dan perbincangan yang telah diadakan, tetapi sejauh mana masalah yang dibangkitkan dapat diselesaikan atau menemukan jalan ke arah penyelesaian.

“Sesuatu isu tidak seharusnya berhenti sebagai catatan dalam minit mesyuarat.

“Bagi rakyat, yang penting bukan sekadar berapa banyak mesyuarat dan perbincangan yang telah diadakan, tetapi berapa banyak masalah yang akhirnya dapat diselesaikan atau menemukan jalan ke arah penyelesaian,”katanya.

Beliau berkata sebagai Ahli Parlimen Sepang dan Timbalan Menteri KPKT, beliau akan terus membawa keperluan rakyat Sepang ke peringkat berkaitan serta menggunakan ruang dan bidang kuasa yang ada untuk memastikan isu perumahan, kerajaan tempatan, kebersihan, pengurusan sisa, kemudahan komuniti dan kesejahteraan rakyat mendapat perhatian sewajarnya.

BACA JUGA Siapa sebenarnya yang ‘berniat jahat’ dalam kemelut PN?