Kemelut tak selesai, Ismail ‘tuding jari’ kepada Tok Min

Ketika kemelut institusi Raja dan Adat Negeri Sembilan masih belum menunjukkan jalan penyelesaian, Menteri Besar Datuk Seri Ismail Lasim mengalihkan perhatian kepada pentadbiran terdahulu dengan mendakwa masalah itu berpunca daripada kegagalan kerajaan sebelum ini menyelesaikan proses yang sepatutnya.

Dalam kenyataan media tujuh halaman yang dikeluarkan hari ini, Ismail menegaskan kemelut yang berlaku bukan berpunca daripada pentadbiran semasanya, sebaliknya merupakan masalah yang diwarisi daripada kerajaan terdahulu.

Tanpa menyebut nama bekas Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun secara langsung dalam kenyataan itu, Ismail mendakwa kegagalan Menteri Besar ketika itu melaksanakan tanggungjawab di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) menyebabkan kemelut berkenaan berlarutan.

“Kegagalan Menteri Besar ketika itu melaksanakan tanggungjawab sebagaimana diperuntukkan di bawah Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, termasuk keengganan menyempurnakan proses yang sepatutnya dilaksanakan, telah menyebabkan kemelut ini berlarutan dan menjadi semakin parah,”katanya.

Aminuddin atau lebih dikenali sebagai Tok Min merupakan Menteri Besar sebelum Ismail mengambil alih pentadbiran negeri pada Ogos lalu. Ismail pula sebelum ini pernah berkata dasar kerajaan terdahulu yang memberi manfaat kepada rakyat akan diteruskan di bawah pentadbirannya. 

Namun, dalam isu institusi Raja dan Adat, Ismail kini menegaskan kerajaan semasanya mewarisi masalah yang belum diselesaikan, sambil menyatakan pentadbiran baharu menerima mandat rakyat dengan majoriti lebih dua pertiga.

Menurut Ismail, mandat itu membawa tanggungjawab untuk memulihkan kestabilan pentadbiran, mempertahankan UUTKNS 1959 serta memelihara institusi Adat dan Raja yang menjadi sebahagian daripada identiti Negeri Sembilan.

Pada masa sama, Ismail menolak gambaran bahawa Menteri Besar atau kerajaan negeri mempunyai kuasa untuk “menurunkan” Yang di-Pertuan Besar, dengan menegaskan struktur beraja Negeri Sembilan mempunyai mekanisme tersendiri berasaskan Adat Perpatih dan UUTKNS.

“Adalah tidak benar untuk menggambarkan seolah-olah Menteri Besar atau EXCO Kerajaan Negeri mempunyai kuasa secara unilateral untuk menentukan siapa yang menaiki atau meninggalkan takhta,”jelasnya.

Pendirian itu selari dengan kenyataan Ismail pada 15 September lalu bahawa Menteri Besar sendiri tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar dan bahawa proses berkenaan perlu dinilai berdasarkan UUTKNS. 

Ismail turut menggesa supaya kemelut berkenaan tidak digambarkan semata-mata sebagai pertentangan antara kerajaan negeri dengan Istana, sebaliknya diselesaikan melalui proses adat, UUTKNS dan institusi yang mempunyai bidang kuasa.

Dalam kenyataan sama, beliau menyentuh isu Setiausaha Kerajaan Negeri dan Penasihat Undang-Undang Negeri dengan menegaskan kerajaan mengambil serius soal profesionalisme, keberkecualian dan pematuhan penjawat awam terhadap keputusan kerajaan yang dibuat secara sah.

Bagaimanapun, isu kuasa pentadbiran sendiri kini turut menjadi pertikaian apabila Jabatan Peguam Negara (AGC) pada 22 September menyatakan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tidak mempunyai kuasa dari segi undang-undang untuk menggantung tugas SUK dan Penasihat Undang-Undang Negeri, dengan kuasa berkaitan terletak pada suruhanjaya yang dinyatakan dalam Perkara 37 UUTKNS. 

Dalam bahagian akhir kenyataannya, Ismail menyeru semua pihak menyerahkan penyelesaian kemelut kepada proses adat dan perlembagaan, sambil menegaskan kerajaan negeri tidak mahu mengambil alih fungsi institusi adat.

“Perkara tersebut hendaklah diselesaikan menurut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, Adat Perpatih serta melalui institusi yang mempunyai bidang kuasa, termasuk Undang Yang Empat dan Dewan Keadilan dan Undang mengikut fungsi masing-masing,”kata kenyataan itu.

Namun selepas beberapa minggu kemelut terus berlarutan dan pertikaian kuasa kini turut melibatkan AGC, kenyataan terbaru Ismail membuka satu persoalan lain: jika masalah ini memang diwarisi daripada Tok Min, apakah langkah konkrit pentadbiran baharu untuk akhirnya menamatkan kemelut yang belum selesai itu?