9 September kata dipaksa, 15 September Exco sahkan proklamasi, Zafrul tanya Ismail apa yang berubah?

Perubahan pendirian Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim berhubung proklamasi membabitkan kedudukan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir terus menjadi persoalan apabila Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz meminta beliau menjelaskan apa sebenarnya berlaku antara 9 hingga 15 September lalu.

Penasihat Kanan Politik kepada Perdana Menteri itu berkata, meskipun Ismail mengeluarkan kenyataan panjang lebar mengenai adat, Perlembagaan, mandat rakyat dan bidang kuasa, persoalan paling asas mengenai perubahan pendiriannya sendiri masih belum terjawab.

Menurut Zafrul, kronologi bermula apabila Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar pada 2 Ogos sebelum dikatakan menandatangani Surat Cara Proklamasi berkaitan penurunan takhta Tuanku Muhriz pada 3 Ogos.

Bagaimanapun, pada 6 September, Ismail secara terbuka menzahirkan sokongan penuh serta taat setia kepada Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

Tiga hari kemudian, pada 9 September, Ismail menjelaskan bahawa tandatangannya pada Surat Cara Proklamasi itu dibuat tanpa rela hati dan secara paksaan, selain memaklumkan beliau telah membuat laporan polis berhubung perkara tersebut.

Ketika itu kerajaan negeri turut berpandangan dokumen berkenaan tidak memenuhi proses dan tatacara di bawah Perkara 10 Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959.

Zafrul berkata, keadaan itu menimbulkan persoalan apabila pada 15 September, Ismail masih menegaskan bahawa sesuatu proklamasi tidak dengan sendirinya mewujudkan kuasa perlembagaan, sebaliknya kesannya perlu ditentukan berdasarkan sumber kuasa, syarat dan prosedur yang ditetapkan undang-undang tubuh negeri.

Namun, mesyuarat Exco yang dipengerusikan Ismail pada hari sama kemudiannya dilaporkan membuat keputusan secara sebulat suara berhubung proklamasi tersebut.

Pada 17 September, Ismail sendiri mengesahkan proklamasi itu telah dibincang dan diputuskan semua ahli Exco, selain proses pewartaan diminta diteruskan mengikut peraturan sedia ada.

Susulan itu, Zafrul mengemukakan beberapa persoalan kepada Ismail, antaranya sama ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh itu benar-benar dipaksa menandatangani dokumen tersebut pada 3 Ogos dan, jika benar, siapa yang melakukan tekanan berkenaan.

Perubahan pendirian

Zafrul turut mahu Ismail menjelaskan apa yang berubah selepas beliau mendakwa dipaksa pada 9 September sehingga kerajaan negeri yang dipengerusikannya mengambil pendirian berbeza dalam mesyuarat Exco pada 15 September.

“Apakah yang menyebabkan perubahan pendirian itu? Adakah anda juga dipaksa sepertimana dakwaan anda semasa menandatangani Proklamasi?

“Jika terdapat tekanan untuk mengubah pendirian anda, siapa yang terlibat dan siapakah yang anda temui dalam tempoh tersebut?” soalnya lagi menerusi hantaran di Facebook petang ini.

Bekas Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu turut menegaskan perkara tersebut perlu dijelaskan kerana ia membabitkan keputusan kerajaan negeri berkaitan institusi diraja.

“Ini bukan persoalan kecil.

“Seorang Menteri Besar telah mendakwa beliau dipaksa menandatangani dokumen berkaitan kedudukan Raja, membuat laporan polis mengenainya dan secara terbuka menyatakan sokongan penuh serta taat setia kepada Tuanku Muhriz.

“Tidak sampai sepuluh hari kemudian, kerajaan yang dipengerusikannya mengesahkan proklamasi itu dan meminta proses pewartaannya diteruskan.

“Apa yang sebenarnya berubah antara 9 dan 15 September? Perkara asas ini perlu dijelaskan dahulu,” kata Zafrul lagi.

BACA JUGA Wawasan tuduh ‘tangan ghaib’ tapi RoS dedah Bersatu sendiri mengadu tentang PN