Sebelum turunkan Raja, Anwar: Selesaikan dulu Undang mana sah, mana tak sah

Persoalan mengenai kesahihan Undang yang terlibat perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan diputuskan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar menegaskan beliau tidak mencampuri urusan berkaitan institusi diraja Negeri Sembilan, sebaliknya menyerahkan perkara itu kepada pihak berkenaan untuk diselesaikan berdasarkan Perlembagaan dan undang-undang.

“Saya kata saya tak campur. Apa yang saya campur? Undang ambil keputusan. Ada pihak yang menyokong mereka, bagi pandangan, tak ada masalah. Saya tak mahu campur.

“Tapi Undang itu pun, yang mana sah, yang mana tak sah? Pilih, selesaikan yang itu,” katanya ketika berucap pada program Sebarkan Salam dan Pendang Berselawat Bersama Anwar Ibrahim di Pendang, Kedah, malam tadi.

Kenyataan itu dibuat ketika kemelut berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan kembali menjadi perhatian, termasuk pertikaian mengenai proklamasi bertarikh 19 April 2026.

Anwar berkata, kedudukan Raja dalam sistem Raja Berperlembagaan tidak boleh diperlakukan sewenang-wenangnya kerana setiap tindakan perlu mempunyai asas dalam Perlembagaan serta undang-undang yang berkaitan.

Menurutnya, tindakan untuk menurunkan atau menggulingkan seseorang Raja bukan sesuatu yang boleh dilakukan dengan mudah tanpa melalui proses yang ditetapkan.

“Bincanglah cara elok. Saya tak setuju semudah-mudah nak guling Raja. Tak boleh sistem kita begitu sebab itu Perlembagaan sangat jelas,” katanya.

Anwar turut menjelaskan bahawa kuasa Perdana Menteri dan Jemaah Menteri juga mempunyai batas tertentu seperti yang ditetapkan Perlembagaan.

“Perdana Menteri itu ketua eksekutif mentadbir negara. Had dia apa? Dia tidak boleh pinda Perlembagaan soal Islam, soal bahasa Melayu, soal hak semua orang Melayu, soal Raja-Raja,” katanya.

Menurut Anwar, pendirian itu penting kerana sistem Raja Berperlembagaan perlu berfungsi dalam kerangka undang-undang dan bukannya bergantung kepada keputusan atau tindakan mana-mana pihak secara sepihak.

Beliau berkata jika kedudukan Raja boleh diubah dengan mudah, perkara itu boleh menjejaskan asas sistem beraja yang diamalkan negara.

“Kalau Raja ini kita boleh jatuhkan dengan mudah, sistem Raja akan pupus di negara kita,” katanya.

Pada masa sama, Anwar menegaskan bahawa pendiriannya itu bukan bertujuan mencampuri urusan adat dan pemerintahan Negeri Sembilan.

Sebaliknya, beliau berkata prinsip Perlembagaan perlu dihormati apabila timbul pertikaian mengenai institusi diraja, termasuk dalam menentukan pihak yang mempunyai kedudukan atau kuasa yang sah.

Kemelut berkenaan tercetus susulan isu proklamasi bertarikh 19 April 2026 berkaitan kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. Jabatan Peguam Negara sebelum ini menyatakan proklamasi tersebut tidak sah.

Dalam perkembangan berasingan pada 16 September lalu, barisan Exco Kerajaan Negeri Sembilan menyatakan proklamasi penurunan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir sebagai Yang Dipertuan Besar adalah sah dan menggesa supaya Tuanku Nadzaruddin Tuanku Jaafar diiktiraf sebagai Yang Dipertuan Besar yang baharu. 

Kenyataan itu dipertikaikan dari sudut kuasa Exco dan proses yang ditetapkan undang-undang negeri.

Pertikaian itu turut menyentuh tafsiran terhadap Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan 1959, khususnya berkaitan peranan Undang Yang Empat dalam proses melibatkan kedudukan Yang Dipertuan Besar.

Dalam keadaan itu, kenyataan terbaru Anwar lebih menumpukan kepada keperluan menentukan siapa yang sah dan apakah proses yang sah sebelum sebarang keputusan berkaitan institusi diraja dibuat.

Perdana Menteri turut menyeru supaya perbezaan pandangan berhubung perkara itu dibincangkan secara baik dan tidak didorong oleh sentimen permusuhan atau kemarahan.

“Kalau kita orang Melayu, dalam soal Raja Melayu jadi tonggak ini pun kita berbalah, nak suruh orang hormat kita macam mana?

“Ini masalah kita kerana faktor kebencian, geram… soal perbezaan ini yang menyebabkan kita hilang pertimbangan dan hilang siuman,” katanya.

Anwar berkata isu institusi diraja tidak seharusnya dilihat semata-mata sebagai pertikaian politik kerana ia turut menyentuh sistem kenegaraan dan aturan Perlembagaan.

Dengan pendirian itu, Anwar sekali lagi menegaskan Kerajaan Persekutuan tidak mahu mencampuri keputusan yang menjadi bidang kuasa pihak berkenaan di Negeri Sembilan, tetapi pada masa sama menekankan bahawa sebarang tindakan terhadap kedudukan Raja mesti mempunyai asas perundangan yang jelas.

Persoalan utama yang ditekankan Anwar kini bukan siapa yang perlu menyebelahi mana-mana pihak, tetapi kesahihan Undang, kuasa yang diberikan oleh undang-undang serta proses yang perlu dipatuhi sebelum sebarang keputusan mengenai kedudukan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan dibuat.

BACA JUGA Tahanan rumah Najib: Telefon Rosmah pula cetus persoalan