Politik identiti semakin meningkat, Zulkifli gesa gerakan Islam perjuangkan politik kemanusiaan

FOTO BERITA: Majlis Perasmian Ijtimak Harakiy WADAH–ABIM–PKPIMKali Ke-8 dan Seminar Antarabangsa Geopolitik dan Perubahan Global yang disempurnakan oleh YB Senator Dr. Zulkifli Hasan, Menteri di Jabatan PerdanaMenteri (Hal Ehwal Agama) di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, Serdang, Selangor. 26hb September 2026 (Sabtu)

Kebangkitan politik identiti di peringkat global perlu ditangani dengan pendekatan politik kemanusiaan yang berteraskan nilai ihsan, kesederhanaan dan keadilan bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Dr. Zulkifli Hasan berkata, perkembangan geopolitik dunia ketika ini memperlihatkan peningkatan politik identiti, autoritarianisme dan fahaman ekstrem yang memberi cabaran besar kepada masyarakat antarabangsa.

Menurutnya, gerakan Islam perlu tampil membawa pendekatan politik kemanusiaan berlandaskan prinsip wasatiyyah, rahmatan lil-‘alamin dan maqasid syariah sebagai tindak balas terhadap perkembangan tersebut.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Ijtimak Harakiy WADAH–ABIM–PKPIM Kali Ke-8 dan Seminar Antarabangsa Geopolitik dan Perubahan Global di Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, hari ini.

Zulkifli turut mengingatkan bahawa persaingan kuasa besar kini bukan sahaja melibatkan geopolitik, malah semakin tertumpu kepada geoekonomi yang menjadikan perdagangan, sekatan ekonomi, akses modal dan rantaian bekalan sebagai instrumen persaingan.

Sehubungan itu, beliau menggesa gerakan Islam memperkukuh penguasaan ilmu dalam bidang ekonomi, teknologi, keselamatan siber, keselamatan makanan dan tenaga bagi menghadapi ketidaktentuan global.

Katanya, gerakan Islam juga tidak boleh sekadar menghasilkan resolusi dan cadangan strategik, sebaliknya perlu memastikan setiap perancangan diterjemahkan kepada tindakan yang lebih pantas, sistematik dan berkesan.

Beliau turut menggalakkan WADAH, ABIM dan PKPIM memperluas kerjasama serantau menerusi jaringan sarjana, belia serta organisasi kemanusiaan, termasuk melalui inisiatif Malindo Madani dan Muslim Scholars Minority Network.

Dalam pada itu, Zulkifli mengajak masyarakat membayangkan masa depan Malaysia menjelang 2057 dengan memastikan politik identiti diurus secara bijaksana supaya tidak menjejaskan perpaduan dan daya saing negara.

Majlis berkenaan turut menyaksikan pelancaran beberapa penerbitan buku serta inisiatif penjenamaan semula program sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh gerakan ilmu, kepimpinan dan pembangunan generasi muda.
