Dari Dewan Latehan RIDA ke UiTM: Kampus Jalan Othman kini bawa nama Tun Arshad
Hampir tujuh dekad selepas menjadi antara titik awal perjalanan institusi yang kini dikenali sebagai Universiti Teknologi MARA (UiTM), Kampus Jalan Othman, Petaling Jaya kini diberi nama baharu sebagai penghormatan kepada tokoh yang pernah memainkan peranan penting dalam perkembangan institusi itu.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengisytiharkan Kampus UiTM Jalan Othman sebagai Kampus UiTM Tun Arshad Ayub Jalan Othman, sempena mengenang jasa dan sumbangan Allahyarham Tun Arshad Ayub dalam pembangunan pendidikan tinggi negara.
Pengumuman itu dibuat ketika berucap pada Himpunan Mesra Alumni UiTM Bersama Perdana Menteri di Dewan Agung Tuanku Canselor (DATC), UiTM Shah Alam.
Menurut Anwar, penamaan itu bukan sekadar untuk mengabadikan nama seorang tokoh pendidikan, sebaliknya bagi menghidupkan semula legasi pengurusan, tatakelola dan penekanan terhadap mutu pendidikan yang dikaitkan dengan kepimpinan Allahyarham Tun Arshad.
Sebagai langkah susulan, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan segera RM2.5 juta bagi menaik taraf kampus berkenaan.
“Saya mulakan dengan bersetuju dengan saranan rakan-rakan termasuk alumni untuk mengisytiharkan Kampus UiTM Jalan Othman Petaling Jaya kepada Kampus UiTM Tun Arshad Ayub.
“Sebagai permulaan yang sesuai dengan pengumuman ini, saya luluskan segera RM2.5 juta ke Jalan Othman,” kata Anwar.
Penamaan baharu itu mempunyai kaitan rapat dengan sejarah panjang kampus berkenaan.
Menurut rekod rasmi UiTM, institusi yang kini mempunyai puluhan kampus di seluruh negara itu bermula pada 1956 sebagai Dewan Latehan RIDA.
Dewan berkenaan mula beroperasi pada November 1956 di Jalan Othman, Petaling Jaya, sebelum dirasmikan pada 14 Oktober 1957.
Pada peringkat awal, institusi itu menawarkan kursus profesional termasuk dalam bidang perakaunan, pengurusan dan perdagangan dengan penglibatan badan profesional antarabangsa.
Penubuhan Dewan Latehan RIDA pula mempunyai kaitan dengan usaha membangunkan ekonomi masyarakat luar bandar.
Idea penubuhan RIDA tercetus selepas lawatan Datuk Onn Jaafar dan Abdul Razak Hussein ke Ceylon, kini Sri Lanka, pada 1951 bagi meneliti program pembangunan luar bandar.
RIDA kemudiannya ditubuhkan melalui ordinan yang berkuat kuasa pada 1954 dengan matlamat merangsang pembangunan ekonomi dan sosial, khususnya di kawasan luar bandar.
Antara usaha tersebut termasuk menyediakan latihan dan peluang pendidikan kepada masyarakat yang memerlukan kemahiran profesional.
Daripada Dewan Latehan RIDA, institusi itu berkembang menjadi Maktab MARA pada 1965, sebelum melalui satu lagi perubahan besar apabila berkembang menjadi Institut Teknologi MARA (ITM).
UiTM sendiri menetapkan 1956 sebagai tahun asas penubuhannya, berdasarkan kesinambungan sejarah daripada Dewan Latehan RIDA kepada Maktab MARA dan seterusnya ITM.
Arshad Ayub dan era pengembangan ITM
Nama Tun Arshad Ayub pula mempunyai tempat tersendiri dalam sejarah perkembangan institusi berkenaan.
Allahyarham merupakan antara tokoh utama yang memacu perkembangan institusi tersebut ketika era ITM dan memainkan peranan penting dalam memperluaskan akses pendidikan serta latihan profesional.
Rekod UiTM menyenaraikan Arshad Ayub sebagai salah seorang peneraju utama institusi daripada era Dewan Latehan RIDA dan Maktab MARA sebelum perkembangan seterusnya sebagai ITM.
Kompleks Arshad Ayub di UiTM juga diwujudkan bagi menghormati sumbangan beliau sebagai tokoh yang dikaitkan dengan transformasi Maktab MARA kepada ITM serta perkembangan institusi itu sebagai sebuah institusi pengajian tinggi yang besar.
Dalam ucapannya hari ini, Anwar berkata legasi Tun Arshad bukan hanya terletak pada pembangunan institusi, tetapi turut merangkumi penekanan terhadap pengurusan yang cekap, tatakelola dan mutu pendidikan.
Katanya, pendekatan tersebut perlu dijadikan teladan dalam usaha memastikan institusi yang dibangunkan untuk kepentingan masyarakat terus dipelihara dan diperkukuh.
Dalam majlis sama, kerajaan turut mengumumkan sokongan kepada usaha Persekutuan Alumni UiTM Malaysia (PAUiTM) melalui dua sumbangan masing-masing berjumlah RM100,000.
Sebanyak RM100,000 diperuntukkan bagi pelaksanaan Program TUNaS Belia NEET, manakala RM100,000 lagi disalurkan bagi menjayakan Himpunan Mesra Alumni UiTM.
Dengan peruntukan RM2.5 juta untuk menaik taraf Kampus UiTM Tun Arshad Ayub Jalan Othman dan RM200,000 bagi dua program PAUiTM, keseluruhan pengumuman tersebut berjumlah RM2.7 juta.
Himpunan hari ini menghimpunkan kira-kira 2,000 alumni dan antara lain bertujuan mengimbau perjalanan institusi daripada era Dewan Latehan RIDA, Maktab MARA dan ITM sehingga penubuhan UiTM.
Pada majlis sama, Allahyarham Tun Arshad turut menerima pengiktirafan sebagai Tokoh Alumni UiTM Sepanjang Zaman, yang diwakili anaknya, Azahari Arshad.