ARTIKEL | Kenangan bersama Cikgu Idrus
ZUNAR
Perkenalan saya dengan Cikgu Idrus bermula tahun 1998, selepas munculnya gelombang reformasi.
Cikgu Idrus yang saya kenali memang seorang yang tidak banyak cakap tetapi sentiasa tersenyum dan sentiasa memberi bantuan apabila diperlukan.
Pada suatu hari di sekitar tahun 2000, DSAI yang masih dipenjarakan dibawa ke hospital untuk rawatan.
Wad beliau di tingkat tiga berhampiran dengan tempat letak kereta bersebelahan bangunan Reddy Care.
Ertinya, jika kita berada di ruang parkir hadapan itu, DSAI akan dapat melihatnya melalui tingkap wadnya.
Menyedari peluang ini, saya menginisiatifkan satu demonstrasi di hospital (iaitu di tempat parkir tersebut) selepas waktu kerja.
Ketika itu bulan puasa. Semua peserta demonstrasi pakat membawa makanan sendiri.
Ramai keluarga DSAI yang turut hadir – antaranya Rusli (ini yang jadi pemberi maklumat kepada saya setiap kali Anwar dibawa ke hospital atau mahkamah).
Juga Kak Wan dan Nurul serta yang lain. Tidak ketinggalan pastinya Cikgu Idrus.
Acara biasanya dimulakan dengan bacaan doa, ucapan, laungan reformasi melambai-lambai tangan kepada DSAI dan selepas itu kami pakat-pakat berbuka puasa dengan duduk bersila di lokasi tersebut.
Itulah pertama kali demo diadakan di mana-mana hospital.
Kerana DSAI berada di hospital sekitar sebulan, demo ini menjadi popular dan bertukar menjadi acara harian.
Suatu hari, ketika semua berkumpul dan acara mahu dimulakan, semua sudah bersedia.
Walau bagaimanapun, keluarga Anwar masih tersangkut dalam kesesakan jalan raya (memandangkan agak sukar ke situ antara jam 5 petang hingga 7 petang).
Menyedari kelibat wakil keluarga masih belum kelihatan, saya menelefon Cikgu Idrus yang ketika itu tinggal di Seputeh, Kuala Lumpur.
Saya berkata, “Semua dah ada ni, tapi wakil keluarga tak ada.”
Cikgu Idrus berkata, “Mulai hari ini, saya mengangkat Zunar sebagai keluarga Anwar.
Selesai kan?” Waaah, saya rasa ini pengiktirafan yang baik dari Cikgu Idrus. Tapi untuk hari itu saja ya.
Disambung cerita, kerana demo ini menjadi popular, polis pun menjadi semakin ramai.
Lama-lama FRU pun mula berkawal. Pada satu ketika, polis sudah mengadakan larangan dengan hanya membenarkan kami berkumpul dan berdoa saja, tetapi tidak membenarkan ucapan.
Saya memberitahu Ustaz Roslan Kassim / Ustaz Badrul Amin supaya memanjangkan doa dengan memasukkan ucapan sekali, kemudian diselang-seli dengan bahasa Arab.
Kerana ada bahasa Arab, polis tidak boleh ganggu sebab ia adalah termasuk sejenis doa.
Saya lihat FRU sedang ketap bibir masa kami berdoa.
Selepas sebulan, DSAI dibawa balik ke Penjara Sungai Buloh dan tiada lagi demo di hospital.
Namun kata-kata dari Almarhum Cikgu Idrus kekal dalam ingatan saya sampai ke hari ini.
Semoga rohnya dicucuri rahmat-Nya dan ditempatkan bersama roh orang-orang beriman. Amin.
***Catatan Reformasi Zunar #3: