Terkini SPRM mula buka kertas siasatan babit kerugian UiTM Holdings

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan telah menjalankan siasatan berkaitan beberapa isu melibatkan kerugian yang dialami oleh UiTM Holdings Sdn Bhd pada tahun 2023

Antara projek yang disiasat SPRM adalah pembangunan projek solar 50MW di Gambang, Pahang, yang membabitkan bayaran berjumlah RM42 juta.

Difahamkan, RM42 juta itu telah dibayar bagi tujuan yang tidak berkaitan dengan projek solar tersebut serta dibuat tanpa kelulusan Lembaga Pengarah (BOD).

Proses siasatan kini masih berlangsung dan ia masih menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan memandangkan kompleksiti kes yang tinggi kerana terdapat beberapa perkara membabitkan aspek teknikal.

“Bagi melengkapkan lagi proses penyiasatan, SPRM juga akan meneliti sekiranya terdapat isu-isu lain yang relevan termasuk kelemahan tatakelola sebagaimana yang dinyatakan oleh Perdana Menteri, semalam.

“SPRM juga mengesahkan sedang menunggu arahan lanjut daripada pihak pendakwaan berhubung kes ini,” katanya menurut Harian Metro.

SPRM menyambut baik keprihatinan serta ketegasan Perdana Menteri dalam usaha melihat dan menyelesaikan kelemahan yang menjadi faktor kerugian ke atas UiTM Holdings Sdn Bhd

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Abd Halim Aman, ketika dihubungi mengesahkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009

SPRM akan berusaha menyiapkan siasatan dengan kadar segera secara bebas dan adil,” katanya.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dilaporkan berkata, Universiti Teknologi Mara (UiTM) perlu membuat penilaian semula secara menyeluruh terhadap struktur tadbir urus serta pengurusan anak syarikatnya, UiTM Holdings berikutan prestasi kewangan syarikat berkenaan yang mencatatkan kerugian.

Katanya, usaha itu perlu dilakukan dengan kerjasama Naib Canselor UiTM dengan Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi menangani isu kelemahan pengurusan di entiti perniagaan institusi berkenaan.