Anwar kenang Kak Hasmah sebagai sosok ibu, jasa dan budinya terus dikenang
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara akan terus mengenang jasa dan curah bakti Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali.
Dalam perkongsian di Facebook malam ini, Anwar menyifatkan Tun Hasmah sebagai sosok ibu yang kelembutan dan kasihnya akan sentiasa dikenang, selain seorang sahabat dan rakan karib mereka pada tahun-tahun lampau.
Beliau berkata, sukar untuk mereka berdua menghadam hakikat bahawa Tun Dr Hasmah kini telah pergi.
“Hadir bersama Azizah untuk memberikan penghormatan terakhir kepada Kak Hasmah, sosok ibu yang kelembutan dan kasihnya akan sentiasa kami kenang, selain juga sebagai seorang sahabat dan rakan karib di tahun-tahun lampau.
“Tentunya sukar untuk kami berdua menghadam hakikat ini bahawa beliau kini telah pergi, lebih-lebih lagi apabila setiap babak indah yang dikongsi bersama kembali terpancar di depan mata hati yang terdalam.
“Justeru, negara akan terus mengenang jasa dan curah bakti Kak Hasmah. Dalam ingatan ramai, beliau adalah seorang ibu yang menyantuni sesiapa sahaja dengan penuh kasih, malah berupaya membuatkan setiap mereka berasa dekat dan dihargai,” kata beliau.
Perdana Menteri turut mendoakan agar Tun Dr Mahathir Mohamad terus kuat menghadapi ujian dan dikurniakan kesihatan.
“Saya dan Azizah mendoakan agar Tun Dr Mahathir Mohamad terus kuat dengan ujian-Nya, terus dikurniakan kesihatan dan sentiasa dipayungi kasih sayang keluarga.
“Semoga Allah SWT mengampuni Almarhumah, menerima segala amal bakti dan menempatkannya dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh,” katanya.
Beliau turut menyampaikan penghargaan kepada Allahyarham atas segala budi yang dicurahkan kepada mereka serta menitipkan doa dan ingatan mengiringi pemergian Tun Dr Siti Hasmah.
“Terima kasih juga Kak Hasmah atas setiap budimu kepada kami, dan pastinya doa serta ingatan kami mengiringi pemergianmu. Al-Fatihah.”