“Tun adalah pahlawan badminton Malaysia” – Lee Chong Wei kenang kasih Siti Hasmah
Legenda badminton negara, Datuk Lee Chong Wei menyifatkan Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali sebagai seorang pahlawan yang bukan sahaja menaungi badminton Malaysia.
Malah menjadi tempat pemain negara menumpang kasih sepanjang karier mereka.
Lee berkata berita pemergian Allahyarham pada pagi Isnin membuatkannya terduduk kaku dalam kesedihan, lebih-lebih lagi selepas menyedari perbualan mereka ketika Malaysia Open awal tahun ini merupakan kali terakhir mereka berhubung.
Menurutnya, ketika berhubung dengannya pada kejohanan itu, Allahyarham masih menunjukkan semangat dan kecintaan tinggi terhadap badminton, selain menyatakan hasrat untuk hadir ke stadium bagi memberikan sokongan kepada pemain negara.
“Semangat dan cinta Tun pada badminton langsung tak pernah pudar. Tak sangka betul, itu rupanya kali terakhir kita berbual,” katanya menerusi hantaran di media sosial.
Bagi Lee, kedudukan Allahyarham sebagai isteri bekas Perdana Menteri bukanlah perkara yang paling menggambarkan hubungan beliau dengan warga badminton negara, sebaliknya Tun Dr Siti Hasmah dianggap sebagai insan yang amat dihormati dan disayangi pemain.
“Bagi orang luar, Tun adalah isteri bekas Perdana Menteri. Tapi bagi saya dan seluruh skuad badminton negara, Tun adalah seorang pahlawan, insan yang paling kami hormati dan tempat kami menumpang kasih,” katanya.
Lee berkata sepanjang hampir 20 tahun kariernya dalam badminton, daripada ketika baru menyertai skuad kebangsaan sehingga beraksi di pentas dunia, Allahyarham sentiasa memberikan sokongan kepada pemain negara tanpa mengira keputusan yang diraih.
Menurutnya, pemain senior juga sering berkongsi kenangan manis ketika Malaysia menjuarai Piala Thomas 1992, dengan Allahyarham ketika itu menjadi antara tokoh yang dekat dengan pasukan sebagai penaung.
Katanya, setiap kali kisah kejayaan bersejarah itu dikenang, Allahyarham sering tersentuh sehingga air matanya bertakung, menunjukkan betapa dekatnya kejayaan badminton negara dengan hatinya.
Lebih daripada sekadar penaung, Lee berkata Allahyarham turut menjadi tempat pemain mendapatkan sokongan ketika berdepan perselisihan atau masalah dalam pasukan, malah melayan mereka seperti anak sendiri.
“Bila ada perselisihan faham dalam pasukan, Tun jugalah yang mendamaikan dengan kelembutan dan kebijaksanaan.
Kasih sayang Tun yang menyatukan kami, jadi benteng paling teguh untuk badminton Malaysia,” katanya.
Lee turut mengenang kecintaan Allahyarham terhadap badminton yang menurutnya tidak pernah pudar, termasuk apabila Tun Dr Siti Hasmah sendiri bermain badminton sehingga usia 75 tahun, sesuatu yang dianggapnya sangat memberi inspirasi kepada pemain.
“Minat dan kesetiaan Tun pada sukan ini betul-betul memberi inspirasi pada saya dan kami semua.
“Terima kasih atas segala-galanya untuk badminton Malaysia, terima kasih atas kasih sayang dan kekuatan yang Tun curahkan pada saya selama ini,” katanya.
Lee berkata senyuman serta kehangatan kasih Allahyarham akan terus hidup dalam kenangan pemain badminton negara dan rakyat Malaysia, sambil menyampaikan ucapan terakhirnya kepada insan yang dianggapnya sebahagian daripada keluarga besar badminton negara.
“Berehatlah dengan tenang, Tun. Kami akan sentiasa merindui Tun.”
BACA JUGA Sekarang lebih baik Ismail tutup mulut – Puad persoal pendirian MB Negeri Sembilan