Inovasi perintis Tawau bermula: MCMC uji penghantaran ubat melalui dron ke 12 kampung pedalaman

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) merancang pelaksanaan projek rintis penghantaran ubat menggunakan dron di Tawau, Sabah, yang dijangka memberi manfaat kepada penduduk kira-kira 12 kampung di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Menerusi inisiatif ini, dron dirancang membawa bekalan ubat dari Klinik Kesihatan Tawau ke dua hab pendaratan, iaitu Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) Sungai Imam dan NADI Tinagat, sekali gus memudahkan penduduk mendapatkan ubat tanpa perlu menempuh perjalanan jauh.

Projek yang diperkenalkan ketika Program MADANI Rakyat Sabah pada Mei 2025 itu disasarkan untuk dilaksanakan pada suku keempat 2026. Inisiatif berkenaan bertujuan mempercepat penghantaran ubat ke kawasan yang menghadapi cabaran geografi dan kemudahan pengangkutan.

Penggunaan teknologi dron ini turut memperlihatkan potensi NADI sebagai hab komuniti digital yang menghubungkan masyarakat dengan perkhidmatan kesihatan. Sekiranya projek rintis ini berjaya, MCMC akan mempertimbangkan peluasan perkhidmatan berkenaan ke kawasan lain yang mempunyai keperluan serupa.