Bukan untuk kerajaan sahaja, PM Anwar mahu semua parti politik hayati titah Sultan Nazrin
Perdana Menteri mahu semua parti politik serta pimpinan kerajaan, badan dakwah dan masyarakat, menghayati titah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah yang menekankan kepentingan adab serta budaya syura ketika berdepan perbezaan pandangan.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, titah Sultan Nazrin dalam Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) ke-75 di Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Putrajaya pagi tadi, mengandungi nasihat berharga yang perlu dijadikan pedoman oleh semua pihak.

“Dalam titah perutusan, Baginda mengingatkan betapa prinsip dan budaya syura perlu menjadi suluh, dan adab mesti menjadi kemudi dalam mengurus perbezaan pandangan, khususnya dalam kalangan umat Islam.
“Ketika pendapat bersilang dan suara meninggi, kejernihan pertimbangan serta kesantunan budi mesti teguh memimpin peribadi dan perwatakan diri,” kata Perdana Menteri menerusi kenyataan sebentar tadi.

Sehubungan itu, Anwar telah meminta Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) meneliti serta menyebarluaskan titah Sultan Nazrin supaya mesej berkenaan dapat difahami dan dihayati oleh masyarakat pada semua peringkat.
“Titah ini ialah nasihat berharga buat kami semua dalam pimpinan kerajaan, parti-parti politik, badan dakwah dan masyarakat seluruhnya,” tegas beliau.

Beliau turut mengingatkan bahawa amanah yang terkandung dalam titah berkenaan perlu diterjemahkan melalui tutur kata dan tindakan, bukannya sekadar diterima sebagai nasihat tanpa penghayatan.
Dalam hal ini, Anwar menekankan pentingnya sikap berlapang dada ketika bermusyawarah, memberikan teguran secara berhikmah serta mendengar pandangan orang lain dengan penuh rendah hati.
“Tidak berhujah sambil merobek tenunan ukhuwah dan tidak berbeza jalan hingga meruntuhkan jambatan persaudaraan, Insya-Allah,” kata Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA G25 desak Ismail letak jawatan, pihak berkuasa perlu siasat usaha singkir Tuanku Muhriz