Tinggal sendirian, penglihatan terhad: Ahli Parlimen Sepang santuni warga emas 67 tahun

FOTO BERITA: Nasib seorang warga emas yang tinggal bersendirian dan mengalami masalah penglihatan mendapat perhatian Ahli Parlimen Sepang, Datuk Hajah Aiman Athirah Sabu, menerusi program Ziarah Kasih di Kampung Limau Manis, Sungai Merab. (Gambar: Pusat Khidmat Parlimen Sepang)

Kaharudin Iskandar, 67, yang sebelum ini mencari rezeki sebagai pembekal khemah, kerusi dan meja untuk pelbagai majlis, kini tidak lagi mampu bekerja berikutan faktor usia dan kesihatan yang semakin merosot.

Keadaannya mula mendapat perhatian selepas seorang ahli kariah masjid yang mengenali beliau menyedari kesukaran yang dihadapinya.

Susulan itu, usaha sedang dijalankan untuk menempatkan Kaharudin di pusat jagaan bersesuaian dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Sepang bagi memastikan kebajikan dan kesihatannya terus terpelihara.

Dalam kunjungan berkenaan, Aiman Athirah turut menyertai aktiviti gotong-royong bersama sukarelawan bagi membersihkan serta mengemas kediaman warga emas itu supaya lebih selesa dan terurus.

Beliau turut menyampaikan sumbangan i-Kebajikan menerusi Inisiatif KASIH RAHMAH (iKR’38) Parlimen Sepang bagi membantu meringankan beban Kaharudin.

Sementara itu, Kaharudin melahirkan rasa syukur atas bantuan yang diterima dan turut berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, atas pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) melalui MyKad yang membantu menampung keperluan asas hariannya.

Program berkenaan turut mendapat kerjasama JKM Daerah Sepang, Majlis Perbandaran Sepang, ICU JPM Selangor dan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Sepang.