Gesaan KPM perlu belajar daripada MARA tangani buli tidak tepat, tersasar jauh
Gesaan supaya Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) belajar daripada pendekatan Majlis Amanah Rakyat (MARA) dalam menangani masalah buli disifatkan sebagai perbandingan yang tidak tepat dan tersasar jauh oleh Pegawai Tugas-Tugas Khas kepada Menteri Pendidikan, Dr Radin Muhd Imaduddin Radin Abdul Halim.
Beliau mengkritik Lidah Pengarang Sinar Harian bertajuk “KPM perlu ‘berguru’ dengan Asyraf Wajdi” yang membandingkan pendekatan kedua-dua institusi dalam menangani masalah buli, khususnya pelaksanaan program warden luar sepenuh masa di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
Menurut Dr Radin, beliau tidak mempertikaikan usaha Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, untuk memperkukuh keselamatan pelajar.
Sebaliknya, beliau mempersoalkan kesimpulan bahawa KPM perlu belajar daripada MARA seolah-olah kementerian itu belum mengambil tindakan yang sewajarnya.
Katanya, KPM sudah lama melaksanakan pelbagai langkah menangani buli, termasuk memperkukuh Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Buli melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan 12 Tahun 2023 yang memperincikan tatacara pengurusan kes, langkah intervensi serta perlindungan murid.
Beliau menjelaskan bahawa KPM turut memperkukuh kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM), menambah baik panduan keselamatan sekolah dan memperkenalkan langkah perlindungan kanak-kanak.

Justeru, gesaan memperkukuh pemantauan asrama bukanlah sesuatu yang belum pernah dilaksanakan kementerian.
Dr Radin turut mengemukakan rekod pertambahan 3,813 warden asrama pada 2022, daripada 6,055 kepada 9,868 orang, melibatkan 1,874 sekolah berasrama di bawah KPM. Pada 2025 pula, norma perjawatan warden dikemas kini mengikut bilangan penghuni asrama.
Malah, bermula 1 April 2026, KPM menambah 300 Pembantu Warden Asrama menerusi program MySTEP daripada kalangan bukan guru bagi membantu pemantauan, khususnya pada waktu malam, selain mengurangkan beban tugas guru yang menjalankan tanggungjawab sebagai warden.
Skala pengurusan
Beliau turut membandingkan langkah itu dengan pertambahan sekitar 10 hingga 12 warden yang disebut dalam pendekatan MARA sambil mempersoalkan tanggapan bahawa KPM tidak memberikan perhatian terhadap isu berkenaan.
Bagaimanapun, kedua-dua inisiatif tersebut mempunyai skop dan jumlah institusi yang berbeza.
Selain itu, Dr Radin menegaskan bahawa skala pengurusan KPM dan MARA jauh berbeza.
KPM bertanggungjawab terhadap lebih 10,000 sekolah dan kira-kira 5.1 juta murid, merangkumi pelbagai kategori sekolah, sedangkan MARA mengendalikan 58 MRSM yang mempunyai sistem pendidikan berasrama.
Beliau turut mengingatkan bahawa kajian Universiti Putra Malaysia (UPM) mengenai keberkesanan projek rintis warden luar sepenuh masa hanya melibatkan MRSM Besut dan MRSM Balik Pulau.
Walaupun tiada kes buli direkodkan sepanjang tempoh kajian, dapatan dua institusi itu tidak seharusnya dijadikan bukti bahawa satu pendekatan mampu menyelesaikan masalah buli dalam keseluruhan sistem pendidikan.
Jelasnya, kejadian buli masih boleh berlaku di mana-mana institusi pendidikan dan masalah tersebut bukan sekadar memerlukan pertambahan warden.
Sebaliknya, tegas Dr Radin, masalah buli menuntut perhatian terhadap budaya sekolah, hubungan antara murid, peranan keluarga, media sosial, keberanian membuat aduan dan tindakan penguatkuasaan.
Dalam masa sama, beliau turut mengingatkan supaya usaha membanteras buli tidak dijadikan pertandingan untuk mengangkat individu atau institusi tertentu sambil memperkecilkan usaha pihak lain.
Pada pandangannya, KPM dan MARA sepatutnya saling berkongsi pengalaman dan pendekatan yang terbukti berkesan demi meningkatkan keselamatan serta kebajikan pelajar.
Dr Radin menegaskan bahawa tanggungjawab menangani masalah buli perlu dipikul bersama oleh ibu bapa, guru, sekolah, KPM, MARA, PDRM dan seluruh masyarakat.
“Dan kalau benar kita mahu menghentikan buli, jangan kita sibuk mencari siapa patut menjadi guru dan siapa patut menjadi murid.
“Marilah kita semua menjadi sebahagian daripada penyelesaian,” tegas beliau lagi.
BACA JUGA Bukan untuk kerajaan sahaja, PM Anwar mahu semua parti politik hayati titah Sultan Nazrin