PH tak akan terima tawaran BN, Khalid perjelas hala tuju PRN Melaka

Pakatan Harapan (PH) tidak akan menerima tawaran kerjasama daripada Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka Ke-16.

Pengarah Komunikasi AMANAH, Khalid Abdul Samad berkata, keputusan itu sudah dibuat PH dan gabungan berkenaan kini terbuka untuk meneroka kerjasama dengan parti politik lain, kecuali BN dan Perikatan Nasional (PN).

“Kita tidak akan terima tawaran untuk bersama BN. Jika BN mahu bersama dengan PN, itu hak dan terpulang kepada mereka.

“Bagi PH, kami akan bertanding atas prinsip yang kami perjuangkan,” katanya, dipetik BH.

Sebelum ini, Pengarah Pilihan Raya PH, Datuk Seri Amirudin Shari meminta BN menjelaskan pendiriannya berhubung kemungkinan kerjasama kedua-dua gabungan menjelang PRN Melaka.

Amirudin dilaporkan berkata, PH belum mengadakan rundingan rasmi dengan BN dan mahu gabungan itu menyatakan pendiriannya dengan jelas.

Sementara itu, perkembangan politik Melaka menyaksikan pertemuan tertutup berlangsung semalam membabitkan pemimpin kanan PH dan Bersatu, dipercayai bagi membincangkan kemungkinan kerjasama menghadapi pilihan raya berkenaan.

Mengulas kemungkinan kerjasama dengan Bersatu, Khalid menjelaskan bahawa PH tidak menutup pintu rundingan, namun mana-mana parti yang mahu bekerjasama perlu memahami prinsip yang diperjuangkan gabungan itu.

Menurut bekas Menteri Wilayah Persekutuan berkenaan, prestasi, akhlak dan nilai merupakan antara perkara penting yang perlu diberikan perhatian sebelum sebarang persefahaman politik dibentuk.

“Bila kita mahu membentuk kerjasama sebelum pilihan raya, ini antara perkara yang kita bincangkan.

“Kita ada pilihan dan boleh meletakkan syarat serta penegasan yang sepatutnya,” katanya.

Khalid berkata, sekiranya prinsip tersebut dipersetujui, PH boleh mempertimbangkan kerjasama dengan Bersatu, Muda atau parti lain yang tidak bersama BN dan PN.

Namun, tegasnya, keadaan mungkin berbeza selepas pilihan raya sekiranya keputusan pengundian memerlukan pembentukan kerjasama bagi mendapatkan jumlah kerusi yang mencukupi untuk membentuk kerajaan.

BACA JUGA Selepas bertahun isu pelarian Myanmar, Putrajaya mula hantar pulang berperingkat