Selangor lancar JALUR 2035, 115 projek strategik bakal perkukuh jaringan jalan

FOTO BERITA: Majlis Pelancaran Pelan Strategik Jalan dan Lebuh Raya Selangor 2026-2035 (JALUR SELANGOR) disempurnakan oleh YB Dato’ Menteri Besar Selangor. Hadir sama YB Dato’ Ir. Izham Hashim Exco Infrastruktur & Pertanian Negeri Selangor di Foyer, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam, Selangor. 30hb September 2026 (Rabu)

Kerajaan Selangor melancarkan Pelan Strategik Jalan dan Lebuh Raya Selangor 2026–2035 (JALUR Selangor) yang menggariskan 115 cadangan strategik bagi memperkukuh jaringan jalan dan mobiliti negeri sehingga 2035. Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pelan itu akan menjadi rujukan utama dalam merancang pembangunan infrastruktur jalan secara lebih tersusun, berasaskan data dan mengambil kira keperluan semua daerah.

Menurutnya, Selangor yang mempunyai kira-kira 7.5 juta penduduk merentasi sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) memerlukan sistem perhubungan cekap bagi menyokong sasaran negeri mencapai nilai ekonomi RM500 bilion. “JALUR Selangor dirangka secara holistik untuk menjadi kompas fizikal yang menjajarkan dasar utama Rancangan Selangor Kedua (RS-2). Kita menghentikan pendekatan perancangan secara silo dan beralih kepada prinsip ‘No District Will Be Left Behind’,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran JALUR Selangor di Foyer Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini, hari ini. Daripada 115 cadangan strategik berkenaan, 35 melibatkan pembinaan missing link bagi menyambungkan jajaran jalan yang terputus, 64 projek menaik taraf jalan raya dan 16 lagi melibatkan penaiktarafan persimpangan utama termasuk pembinaan jejambat serta elevated ramps.

Pelan itu turut memberi tumpuan kepada jaringan jalan yang menyokong kawasan pertumbuhan ekonomi seperti Sabak Bernam Development Area (SABDA), Integrated Development Region in South Selangor (IDRISS), pembangunan Pelabuhan Ketiga Pulau Carey serta zon Aeropolis di Subang dan Sepang. Pada masa sama, JALUR Selangor akan menyokong sasaran negeri mencapai sekurang-kurangnya 60 peratus penggunaan pengangkutan awam menerusi integrasi rangkaian jalan dengan LRT3, MRT, cadangan Jajaran Rel KitaSelangor, Transit Responsif Permintaan (DRT), bas pengantara dan kemudahan Park & Ride.

Amirudin menegaskan pembangunan infrastruktur bukan sekadar membina lebih banyak jalan, sebaliknya perlu memastikan rakyat di kawasan bandar dan luar bandar memperoleh akses mobiliti yang lebih adil. “Kerajaan dipilih bukan untuk mengurus kemarahan rakyat, tetapi untuk mengurus dan menterjemahkan harapan rakyat menjadi kemajuan,” katanya.

JALUR Selangor akan menjadi blueprint rasmi yang perlu dijadikan panduan oleh agensi Persekutuan, jabatan negeri, 12 PBT serta pemaju swasta dalam kelulusan perancangan guna tanah dan pembangunan infrastruktur di Selangor. Majlis pelancaran itu turut dihadiri Exco Infrastruktur dan Pertanian Selangor, Dato’ Ir. Izham Hashim serta barisan kepimpinan dan pegawai kanan kerajaan negeri.