Harga minyak dunia turun, tapi subsidi kerajaan kekal lindungi rakyat – RON95 masih RM1.99
Penurunan harga minyak dunia minggu ini tidak mengubah harga yang perlu dibayar rakyat yang layak menerima subsidi, apabila kerajaan mengekalkan harga RON95 pada RM1.99 seliter dan diesel pada RM2.10 seliter bagi tempoh 1 hingga 7 Oktober.
Kementerian Kewangan berkata harga petrol dan diesel tanpa subsidi bagaimanapun menunjukkan penurunan berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism (APM), dengan RON97 turun lima sen kepada RM5 seliter dan RON95 turut turun lima sen kepada RM4.52 seliter.
Harga diesel tanpa subsidi pula turun 15 sen kepada RM5.27 seliter berbanding RM5.42 seliter sebelum ini.
Penurunan itu didorong penyederhanaan purata harga minyak mentah dunia dalam tempoh pengiraan APM susulan penyambungan semula operasi saluran paip East-West Arab Saudi.
Pada masa sama, bekalan produk petroleum bertapis di Asia menunjukkan tanda pemulihan dengan eksport produk petroleum bertapis China pada September dianggarkan melebihi empat juta tan, berbanding purata sekitar tiga juta tan sebulan pada tahun lalu.
Peningkatan bekalan berkenaan membantu mengurangkan sebahagian tekanan terhadap harga produk petroleum serantau, namun keadaan pasaran global masih belum stabil sepenuhnya.
Menurut Kementerian Kewangan, sebuah lagi loji penapisan utama Rusia di Perm terpaksa menghentikan operasi selepas serangan dron Ukraine pada minggu lalu, sekali gus terus mengehadkan bekalan diesel dari Rusia ke pasaran antarabangsa.
Ketidaktentuan harga produk petroleum juga dijangka berterusan selagi konflik antara Amerika Syarikat dan Iran belum diselesaikan, manakala sebarang serangan baharu di Asia Barat berisiko memberi tekanan semula terhadap harga minyak dan produk petroleum.
Dalam keadaan itu, kerajaan MADANI berkata subsidi bersasar menerusi BUDI MADANI terus menjadi mekanisme perlindungan bagi pengguna yang layak daripada turun naik harga minyak dunia.
Bagi RON95, penerima BUDI95 terus membayar RM1.99 seliter walaupun harga tanpa subsidi kini RM4.52. Ini bermakna kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM2.53 bagi setiap liter, bersamaan 56 peratus daripada harga tanpa subsidi.
Bagi diesel pula, penerima BUDI Diesel terus menikmati harga RM2.10 seliter berbanding harga tanpa subsidi RM5.27 seliter, dengan kerajaan menanggung subsidi sebanyak RM3.17 seliter, atau 60 peratus daripada harga tanpa subsidi.
Selain itu, harga bersubsidi bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) kekal RM2.05 seliter, manakala Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) kekal pada RM2.15 seliter.
Kerajaan berkata rakyat Malaysia yang layak boleh terus membeli RON95 dan diesel bersubsidi menggunakan MyKad, tertakluk kepada had kelayakan bulanan masing-masing.
Walaupun bekalan bahan api negara kekal mencukupi ketika ini, kerajaan turut menyeru rakyat mengamalkan penggunaan bahan api secara berhemat, termasuk merancang perjalanan dengan lebih cekap dan mengurangkan perjalanan yang tidak perlu.
Langkah itu dilihat penting bagi membantu memanjangkan bekalan negara serta mengurangkan tekanan terhadap perbelanjaan subsidi ketika harga petroleum dunia masih dipengaruhi perkembangan geopolitik dan gangguan terhadap rantaian bekalan global.
BACA JUGA Jemaah Menteri titip doa buat Mahathir di IJN