‘Tak ulas pula pemimpin kanan Pas yang tak ziarah’, netizen tegur Ridhuan Tee

Pendakwah kontroversi, Dr Mohd Ridhuan Tee Abdullah dihujani kecaman netizen lantaran tidak pula mengulas ketiadaan pemimpin kanan Pas yang hadir menziarahi jenazah Allahyarhamah Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali kelmarin.

Reaksi tersebut muncul selepas pendakwah yang sebelum ini beberapa kali menyatakan pandangan senada dengan Pas itu mendakwa ada pihak yang “baru nak tunjuk baik” selepas pemergian Tun Dr Siti Hasmah, selain menyifatkan keadaan itu sebagai “lakonan dunia”.

Ridhuan Tee turut mengaitkan isu tersebut dengan bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang meninggal dunia pada 13 November 2024.

“Bila dah meninggal baru nak tunjuk baik. Sedih sungguh melihat lakonan dunia. Almarhum Tun Daim sampai ke akhir hayatnya terus ditekan, hingga kini tiada kesudahan.

“Baru saya faham erti dunia org berkuasa, bila meninggal, baru nak ingat, nak tunjuk hebat. Masa hidupnya buat tak peduli saja, meskipun berjasa,” tulisnya di Facebook.

Menilai niat

Hantaran yang kemudian dibanjiri lebih 3,400 komentar setakat ini menyaksikan rata-rata tidak bersetuju dengan nada Ridhuan itu.

Ramai berpendapat suasana ziarah kematian tidak sepatutnya dijadikan ruang untuk menilai niat individu yang hadir.

Antaranya, Wang Kee Loh Roberto yang secara terus mempersoalkan mengapa Ridhuan Tee memilih untuk menyindir pihak yang hadir memberikan penghormatan terakhir.

“Kenapa tak buat ulasan pemimpin kanan Pas tak menziarah? Kenapa perlu menyindir orang yang datang pay last respect,” tulisnya.

Seorang lagi pengguna, Rafeq Razak, pula mempertikaikan tindakan menilai niat mereka yang hadir.

“Title ustaz dan pendakwah tapi tak husnuzon. Ni dah macam ambil tugas Tuhan, boleh tahu niat orang lain. Tak perlu rasanya waktu orang ziarah kematian nak kait politik,” katanya.

Pandangan hampir sama dilontarkan Ashraf Rahim yang berpendapat soal sama ada sesuatu tindakan itu “lakonan atau tidak” bukan untuk orang lain tentukan, sambil menyifatkan pendakwah sepatutnya menggalakkan perdamaian, bukannya menambahkan perpecahan.

Sebelum ini, Ketua Dewan Pemuda Pas, Afnan Hamimi Taib Azamudden menyebut tiga nama pemimpin utama Pas yang hadir memberikan penghormatan terakhir pada majlis pengebumian isteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu.

Mereka adalah Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim; Ketua Dewan Muslimat Pas Pusat, Nuridah Mohd Salleh dan Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Mumtaz Md Nawi.

Tun Dr Siti Hasmah meninggal dunia kelmarin pada usia 100 tahun dan diberikan Istiadat Pengebumian Pembesar Negara sebelum disemadikan di Pusara Negara, Putrajaya.

BACA JUGA Ini akhlak pemimpin yang jarang kita lihat dalam politik