UM tembusi Top 200 dunia, Anwar mahu budaya ilmu terus diperkasa

Universiti Malaya (UM) mencipta sejarah apabila menjadi universiti pertama Malaysia menembusi kelompok 200 terbaik dunia dalam Times Higher Education (THE) World University Rankings 2027, dengan berada di tangga ke-194.

Pencapaian itu disambut sebagai perkembangan penting dalam kedudukan pendidikan tinggi Malaysia di peringkat antarabangsa, selepas UM menunjukkan peningkatan ketara dalam ranking global berkenaan.

Dalam kenyataan yang dikongsikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau merakamkan tahniah kepada UM atas kejayaan bersejarah itu, selain menyifatkannya sebagai gambaran terhadap kecemerlangan universiti berkenaan dalam bidang pengajaran dan penyelidikan.

Menurut Anwar, pencapaian tersebut turut memberi keyakinan bahawa institusi pendidikan tinggi Malaysia mempunyai keupayaan untuk bersaing dengan universiti terkemuka dunia.

Namun, beliau berpandangan pencapaian dalam ranking antarabangsa perlu disusuli usaha berterusan untuk memperkukuh budaya ilmu, kebebasan berfikir serta penyelidikan yang menjawab keperluan masyarakat dan negara.

“Universiti harus melahirkan generasi yang tajam akal, teguh nilai dan akhlak serta berani meneroka gagasan baharu,” katanya.

THE World University Rankings 2027 menilai prestasi universiti berdasarkan lima bidang utama, iaitu pengajaran, persekitaran penyelidikan, kualiti penyelidikan, industri dan perspektif antarabangsa.

Bagi edisi 2027, UM menunjukkan prestasi kukuh khususnya dalam aspek International Outlook dan Research Quality, yang antara lain mencerminkan jaringan akademik antarabangsa serta pengaruh penyelidikan yang dihasilkan warga universiti itu.

Sebanyak 2,297 universiti dari seluruh dunia disenaraikan dalam edisi 2027, manakala UM berada kira-kira dalam kelompok 8.5 peratus teratas berdasarkan keseluruhan institusi yang dinilai.

Kejayaan itu juga menunjukkan peningkatan besar kedudukan UM berbanding edisi 2023 apabila universiti berkenaan berada dalam kelompok 351-400 sebelum melonjak ke tangga ke-194 dalam edisi terbaru.

Naib Canselor UM, Datuk Seri Profesor Ir Dr Noor Azuan Abu Osman, berkata kejayaan menembusi kelompok 200 terbaik dunia bukan titik akhir, sebaliknya mencerminkan peningkatan keyakinan, hala tuju dan kerelevanan global universiti itu.

Beliau berkata pencapaian berkenaan merupakan hasil sumbangan warga UM termasuk ahli akademik, penyelidik, pelajar, kakitangan, alumni dan rakan strategik di dalam serta luar negara.

Dalam pada itu, Anwar berkata pencapaian UM perlu menjadi pemangkin kepada universiti berkenaan dan seluruh institusi pendidikan tinggi negara untuk terus meningkatkan mutu serta mengangkat martabat ilmu.

Beliau berharap UM terus melakar kejayaan di peringkat antarabangsa, selain memastikan kemajuan akademik diterjemahkan melalui penghasilan ilmu, penyelidikan dan generasi yang mampu menyumbang kepada masyarakat serta negara.

BACA JUGA Harga minyak dunia turun, tapi subsidi kerajaan kekal lindungi rakyat – RON95 masih RM1.99