Perbincangan dengan Starlink, Anwar mahu internet berkualiti sampai ke pedalaman

Usaha memperluas capaian internet ke kawasan pedalaman menjadi antara tumpuan perbincangan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama delegasi SpaceX dalam satu kunjungan hormat di Putrajaya petang tadi.

Menerusi pertemuan itu, kerjasama berkaitan Starlink, perkhidmatan internet satelit kendalian SpaceX, dibincangkan khususnya bagi membantu meluaskan capaian internet kepada penduduk di kawasan yang sukar menerima liputan konvensional.

Anwar berkata beliau menghargai peranan Starlink dalam menyokong usaha kerajaan memperluas liputan serta meningkatkan mutu capaian internet menerusi Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Menurutnya, antara kawasan yang mendapat manfaat daripada pendekatan berkenaan termasuk kawasan pedalaman di Sabah dan Sarawak serta penempatan Orang Asli di Semenanjung.

Perkembangan itu selari dengan usaha kerajaan meneroka teknologi internet satelit sebagai sebahagian daripada peluasan infrastruktur digital negara. Sebelum ini, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil turut memaklumkan Starlink berhasrat menguji teknologi sambungan terus ke telefon bimbit (direct-to-device atau direct-to-cell) di beberapa lokasi di Malaysia menerusi JENDELA Fasa Dua.

Dalam pertemuan tersebut, Anwar turut menyambut baik pengoperasian infrastruktur Point of Presence (PoP) Starlink di Cyberjaya, yang menurut beliau dapat membantu melancarkan trafik data tempatan serta meningkatkan mutu perkhidmatan kepada pengguna.

Lebih menarik, SpaceX turut menyumbangkan 50 unit kit Starlink bagi menyokong kesiapsiagaan bencana negara.

Sumbangan itu dilihat berkait dengan keperluan memastikan saluran komunikasi alternatif dapat digunakan ketika berlaku gangguan terhadap infrastruktur komunikasi biasa, khususnya dalam situasi bencana atau di kawasan yang berdepan kekangan liputan.

Bagaimanapun, Anwar menegaskan peluasan teknologi digital tidak seharusnya hanya dilihat dari sudut capaian internet. 

Aspek keselamatan siber, perlindungan data dan penggunaan internet secara selamat juga perlu diberi perhatian seiring dengan peningkatan akses kepada teknologi.

“Kemajuan teknologi mesti membawa manfaat yang nyata kepada rakyat,” katanya menerusi kenyataan yang dikongsikan di media sosial.

Anwar berkata matlamat akhirnya ialah memastikan masyarakat di pedalaman turut memperoleh capaian internet yang berkualiti dan selamat supaya mereka tidak tercicir daripada arus kemajuan negara.

Kerjasama Malaysia dengan SpaceX dalam bidang ini bukan perkara baharu. Pada 2023, Anwar turut mengadakan perbincangan dengan Elon Musk mengenai Starlink, termasuk potensi penggunaan perkhidmatan itu untuk menyediakan akses internet kepada kawasan terpencil.

Perkembangan terbaru itu sekali gus memperlihatkan bagaimana internet satelit semakin diberi perhatian dalam strategi memperluas keterhubungan digital Malaysia, terutama bagi kawasan yang berdepan cabaran dari segi pembangunan infrastruktur komunikasi.

BACA JUGA ‘Tak ulas pula pemimpin kanan Pas yang tak ziarah’, netizen tegur Ridhuan Tee