Gabungan NGO Malaysia bakal berarak ke Kedutaan AS, tuntut tindakan segera untuk Gaza

FOTO BERITA: Gabungan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat sivil Malaysia akan mengadakan perarakan aman menuju Kedutaan Amerika Syarikat (AS) pada 9 Oktober ini bagi mendesak tindakan lebih tegas antarabangsa untuk menghentikan keganasan dan krisis kemanusiaan di Gaza. (Gambar: Gabungan Ngo-Ngo Malaysia)

Perarakan yang diadakan sempena Minggu Peringatan Genosida Gaza 2026 itu dijadual bermula selepas solat Jumaat dari kawasan Tabung Haji sebelum peserta bergerak menuju Kedutaan AS di Kuala Lumpur.

Menurut kenyataan sekretariat program, mobilisasi bertemakan “Hentikan Genosida, Bebaskan Palestin” itu merupakan sebahagian daripada Hari Bertindak Sedunia yang diselaraskan Global Alliance for Palestine (GAFP). Setibanya di kedutaan, wakil gabungan berkenaan dijadual menyerahkan memorandum yang antara lain menuntut tekanan antarabangsa bagi menghentikan pembunuhan orang awam, sekatan senjata terhadap Israel serta akses bantuan kemanusiaan tanpa halangan ke Gaza.

Gabungan itu turut menuntut sekatan politik, ekonomi, ketenteraan dan diplomatik terhadap Israel, penamatan pendudukan wilayah Palestin serta pelaksanaan hak kembali bagi pelarian Palestin selaras dengan undang-undang antarabangsa dan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kenyataan berkenaan menyifatkan perarakan itu bukan sekadar simbol solidariti, sebaliknya usaha masyarakat sivil untuk meningkatkan tekanan terhadap kerajaan dan institusi antarabangsa supaya mengambil tindakan konkrit berhubung keadaan di Palestin.

Situasi kemanusiaan di Gaza kekal serius. Laporan PBB pada September 2026 menyatakan keganasan masih berlaku meskipun gencatan senjata berkuat kuasa pada Oktober 2025, manakala kira-kira dua pertiga wilayah Gaza masih tidak boleh diakses atau tertakluk kepada sekatan ketat. Suruhanjaya Siasatan Antarabangsa Bebas PBB pula pada Jun lalu menyatakan sekurang-kurangnya 20,179 kanak-kanak Palestin terbunuh sejak 7 Oktober 2023 dan menyimpulkan pihak berkuasa serta pasukan keselamatan Israel terus melakukan genosida dan jenayah kekejaman lain terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Antara organisasi yang menyertai gabungan berkenaan ialah SEJAGAT Malaysia, MAPIM, Al-Quds Foundation Malaysia, BDS Malaysia, MyCARE, Muslim Care, IKRAM Malaysia, Sekretariat Solidariti Palestin dan beberapa lagi pertubuhan masyarakat sivil. Gabungan itu turut mengajak mahasiswa, kesatuan sekerja, jaringan profesional serta orang ramai menyertai perarakan berkenaan sebagai tanda solidariti terhadap rakyat Palestin dan desakan supaya masyarakat antarabangsa mengambil tindakan lebih bermakna bagi melindungi orang awam.